KAPTEN skuad kebangsaan, Safawi Rasid berbangga dengan aksi yang ditunjukkan oleh teman sepasukan bagi memastikan tiga mata penuh menjadi milik Malaysia ketika membenam Laos pada Sabtu.

Safawi juga mendedahkan rutin latihan banyak membantu dirinya untuk melakukan bantuan jaringan yang menghasilkan dua gol ketika Harimau Malaya membelasah Laos 5-0 dalam aksi kedua Kumpulan B Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dia juga kita selesa memegang peranan ‘deep playing playmaker‘ dan tidak kisah siapa yang menjaringkan gol kerana apa yang penting adalah tiga mata penuh buat pasukan.

“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada barisan kejurulatihan dan para penyokong yang hadir untuk membantu kami mencapai kemenangan 5-0. Saya bangga dengan pasukan ini dan tidak lupa mahu berterima kasih juga kepada keluarga dan isteri saya yang hadir pada malam ini.

“Walaupun pada separuh masa pertama tidak seperti yang kita mahukan namun kita berjaya kembali pada separuh masa kedua dan ini membuatkan saya bangga dengan rakan sepasukan saya.

“Saya tidak kisah siapa pun yang menjaringkan gol kerana yang penting pasukan mencapai kemenangan. Saya berjaya mencatat dua bantuan jaringan dengan rutin ketika latihan banyak membantu saya memahami apa yang penyerang akan lakukan.

“Fungsi saya di atas padang bukan sebagai ‘playmaker‘ tetapi peranan saya sekarang lebih kepada mengambil bola dan cuba membantu pasukan mencipta jaringan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Safawi juga berkata mereka kini sudah bersedia secara fizikal dan mental untuk menghadapi cabaran Vietnam walaupun sedar dengan cabaran yang bakal ditempuh di Stadium My Dinh, Hanoi pada Selasa.

“Kami akan berangkat ke Vietnam pada Ahad dan kami bersedia secara fizikal serta mental. Kami sedar bukan mudah bermain menentang Vietnam namun kami akan berikan segala-galanya kerana kami mahukan tiga mata sekaligus layak ke separuh akhir.

Dua hantaran berkualiti Safawi berjaya disudahkan oleh Faisal Halim dan Haqimi Azim untuk memberikan kemenangan 5-0 Malaysia ke atas Laos sekaligus meletakkan Harimau Malaya di tangga teratas Kumpulan B dengan enam mata, enam jaringan dan tanpa bolos.