KEHEBATAN kedua-dua jurulatih yang memiliki DNA dari Korea Selatan antara Park Hang-seo dan Kim Pan-gon jelas bakal dibuktikan dalam aksi ketiga peringkat Kumpulan B bertemu Vietnam.

Menjelang aksi mendebarkan Piala AFF Mitsubishi Electric antara Vietnam yang melayan kunjungan Harimau Malaya, pakar-pakar bola sepak sudah memiliki ramalan masing-masing.

Harimau Malaya berlepas pagi semalam ke bumi Hanoi bagi melakukan persiapan awal menjelang aksi sepak mula 27 Disember ini.

Dari segi ranking, Malaysia masih lagi jauh ketinggalan setakat ini apabila berada di tangga ke-145 manakala Vietnam pula menghuni kedudukan ke-96 dunia sekaligus menampakkan kualiti yang dimiliki The Golden Warriors.

Ketiadaan Ahmad Khuzaimi Piee dilihat sedikit merencatkan persiapan pasukan kebangsaan namun harapan tersebut dilihat mampu digalas pemain pertahanan Malaysia yang lain.

Menarik juga untuk diperkatakan apabila kelibat Brendan Gan Seng Ling kini mencuri tumpuan kerana diberi kepercayaan Pan-gon beraksi di posisi pertahanan selain bahagian tengah yang menjadi kegemarannya.

Antara pemain menyinar bagi Malaysia adalah Mohamad Faisal Abdul Halim, Haqimi Azim Rosli dan Muhammad Safawi Abdul Rasid yang nyata memiliki kelebihan individu yang tinggi.

Manakala bagi Vietnam pula Nguyen Tien Linh, Do Hung Dung, Ho Tan Tai, Doan Van Hau, Nguyen Van Toan dan Vu Van Thanh merupakan antara pemain berbisa yang perlu menjadi perhatian skuad kebangsaan.

Menerusi 22 pertemuan antara kedua-dua pasukan sebelum ini , Vietnam berhasil meraih 14 kemenangan dan hanya tewas 4 kali sahaja.

Kali terakhir, Malaysia berjaya menewaskan Vietnam adalah pada Kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric pada Disember 2014.

Vietnam tidak dapat dikalahkan dalam tujuh perlawanan menentang Malaysia, dengan 6 kemenangan termasuk terbaharu berjaya merekodkan kemenangan 3-0 pada saingan Piala AFF tahun lepas.

Foto: Vietnam Football

Manakala, rekod baik Harimau Malaya dalam lima perlawanan terkini apabila berjaya mengekalkan clean sheet bakal menjadi sesuatu yang amat dinantikan para peminat.

Dengan enam kemenangan berturut-turut yang berjaya dicatatkan skuad Vietnam, berjaya menjaringkan 18 gol dengan hanya sekali bolos menjanjikan sesuatu yang sangat meyakinkan buat pasukan The Golden Warriors.

Diharap suhu yang agak sejuk 18 darjah Celcius, semua pemain mampu menyerap segala tekanan untuk menewaskan skuad kendalian Hang-seo dengan mengawasi serangan kilat mereka.