KETUA kontinjen negara, Datuk Nur Azmi Ahmad menyifatkan barisan atlet yang bertanding di Sukan SEA 2021 mempamerkan rentak permulaan yang baik sejak dari hari pertama kejohanan.
Memasuki hari ketiga temasya, enam pingat emas berjaya dimenangi dan Malaysia kini mendahului carta teratas kedudukan senarai pingat.
“Permulaan begitu baik pada hari ketiga kita leading kedudukan carta teratas. Ini memberi semangat dan peluang kepada atlet-atlet lain yang telah sampai dan baru datang memastikan setiap hari kita mempunyai pingat emas.
“Walaupun mereka dapat kutip satu atau dua pingat, ia memastikan supaya kedudukan sasaran 36 emas kita tercapai,” katanya kepada media Malaysia di Hanoi Club pada Selasa.
Beliau berkata, terjun ada lapan kategori dipertandingkan dan esok (hari ini) berkemungkinan sumbangan dua emas dapat diraih lagi penerjun bagi memastikan sasaran lapan emas direalisasikan.
Muhammad Syafiq Puteh dan Gabriel Gilbert Daim akan beraksi dalam acara 3 meter papan anjal lelaki yang meneruskan misi menyapu bersih keseluruhan lapan pingat emas dipertandingkan.
Turut bertanding adalah dua penerjun terbaik negara Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri menerusi acara 10m platform seirama wanita.
“Kita juga ada final silat dan satu pingat emas boleh hadir dari acara itu,” katanya ringkas.
Sementara itu, Nur Azmi tetap nampak kesungguhan mentaliti atlet bertanding kali ini walaupun persediaan tidak begitu kemas ataupun sesi latihan tidak panjang sebelum kejohanan bermula.
“Atlet dipilih adalah terbaik dan setiap atlet mempunyai semangat begitu tinggi sejak mereka berlepas dari KLIA ke bumi Hanoi.
“Cuma bab logistik kontinjen negara ada sedikit masalah. Bukan daripada pihak kita tapi pihak penganjur bersama hotel penginapan.
“Tapi dalam masa yang sama kita dapat solve problem untuk buat yang terbaik.
“Saya pun minta maaf kepada semua pasukan yang terpaksa tunggu selama 3,4 jam keadaan penginapan tetapi kita dapat selesaikan secepat yang mungkin dan saya juga dah jumpa pasukan tersebut serta skuad bola sepak sendiri,” ujarnya.