KEJOHANAN Dunia Mobile Legends Bang Bang (M4) menjadi sasaran utama Todak, tahun depan.
Selepas kecewa gagal melakar kejutan di Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang (M3) tahun lalu, Todak mahu menggegar pada M4 di Jakarta, Indonesia 1 hingga 15 Januari depan.
Menurut Todak, mereka telah melakukan persiapan terbaik untuk melakar kejutan tahun hadapan.
Pengurus pasukan Todak, Radzi Rahman Ibrahim atau dikenali Ikuto, menegaskan pasukannya membawa kelainan bagi memastikan pasukan negara mampu layak ke pentas final.
“Todak akan ke M4 dengan pembaharuan kerana kita sedar, pasukan dunia yang lain turut membawa kelainan untuk melakukan kejutan.
“Untuk menghadapi cabaran tersebut, Todak membawa jurulatih baharu dan menyenarai pemain yang lebih segar serta mampu mencipta kejutan di pentas M4 nanti. Mereka telah melakukan persediaan lebih baik berbanding saingan M3 sebelum ini.
“Jadi, kita meletakkan sasaran sekurang-kurangnya menamatkan saingan di kedudukan kedua terbaik pada Kejohanan Dunia M4 di Jakarta nanti.
“Mengikut sasaran awal, kita memburu tempat ke upper bracket untuk memudahkan perjalanan ke pentas final, sekali gus dapat membanggakan rakyat Malaysia khususnya,” kata Ikuto.
Todak diundi dalam Kumpulan B bersama pasukan tuan rumah Indonesia, Onic Esport, Malvinas Gaming dari Argentina dan MDH Esports (Vietnam).
Sebagai rekod, Todak mewakili Malaysia buat kali keempat di Kejohanan Dunia MLBB dan Team Haq akan menemani Todak di Jakarta.
Sebanyak 16 pasukan antarbangsa yang akan bertarung untuk merebut kejuaraan yang menawarkan hadiah terkumpul AS$800,000 (RM1.8 juta).