PERLAWANAN sengit di Stadium My Dinh, Hanoi menyaksikan Vietnam meraih keputusan 3-0 ke atas Malaysia pada aksi peringkat Kumpulan B Piala Mitshubishi Electric AFF 2022.
Aksi 15 minit pertama menyaksikan kedua-dua pasukan menampilkan aksi seimbang dengan masing-masing mempamerkan corak menyerang pantas.
Minit ke-28, Nguyen Tien Linh memecah kebuntuan dengan tandukan melantun yang menewaskan penjaga gol kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi.
Selang empat minit, skuad The Golden Warriors menerima padah apabila Nguyen Van Toan dilayangkan kad merah apabila menggunakan melakukan terjahan ke atas pemain kebangsaan.
Minit ke-39, Ahmad Syihan Hazmi menjadi watak penting menepis keluar rembatan deras penyerang, Nguyen Tien Linh sekaligus menyaksikan kem negara terselamat dari terus dibolosi buat seketika.
Selang dua minit, Mukhairi Ajmal Mahadi pula melakukan tandukan kemas yang hampir menewaskan penjaga gol Vietnam , Dang Van Lam namun tepisan tipisnya menyelamatkan pintu gol skuad kendalian Park Hang Seo.
Menuju akhir babak pertama, Azam Azmi Murad dilihat sedikit bercakaran dengan Nguyen Tan Cung di penjuru kanan padang namun berjaya ditenangkan pengadil Ryuji Sato.
Mukhairi sekali lagi memiliki peluang keemasan pada masa tambahan babak pertama apabila melakukan rembatan namun sekali lagi ditepis penjaga gol tinggi lampai, Dang Van Lam.
Babak kedua menyaksikan beberapa pertukaran dibuat Harimau Malaya dengan mengeluarkan Nor Hakim Hassan digantikan Ruventhiran Vengadesan, Mukhairi Ajmal Mahadi ditukar dengan Safawi Rasid serta Dominic Tan digantikan Nur Shamie Iszuan Amin.
Nasib sama menimpa Azam Azmi Murad apabila turut menerima layangan kad merah kerana membantah keputusan pengadil yang memberikan sepakan penalti kepada pasukan Vietnam.
Sepakan penalti Que Ngoc Hai dan jaringan lembut Nguyen Hoang Duc menutup malam suram skuad Harimau Malaya menyamai rekod tahun lepas kecundang 0-3 di saingan peringkat kumpulan.