TAHUN 2022 adalah tahun yang paling gemilang buat Johor Darul Ta’zim (JDT) sejak ditubuhkan pada 2013 dengan pencapaian yang sukar untuk diulangi malah ditandingi oleh mana-mana kelab di Malaysia.

Harimau Selatan berjaya menyapu bersih kesemua trofi domestik yang dipertandingkan bermula dari Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia dengan kejuaraan liga adalah yang kesembilan berturut-turut sejak 2014.

Selain itu, pasukan pembangunan, JDT II dan JDT III juga masing-masing muncul juara Liga Premier dan Piala Presiden ditambah pula pasukan Akademi JDT yang mengecapai pelbagai kejayaan dari semua peringkat umur.

Trofi yang dimenangi pasukan senior dan junior JDT pada 2022

Penyerang utama pasukan, Bergson Da Silva pula berjaya mencipta rekod baharu kelab apabila menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman buat JDT dengan hanya dua musim beraksi selain memecah rekod penjaring terbanyak Liga Super dengan 26 gol.

Bergson yang menjadi penyumbang utama jaringan JDT mendapat bantuan daripada pemain import baharu, Fernando Forestieri yang dilihat cukup serasi bergandingan selain kecemerlangan pemain tempatan yang lain.

Arif Aiman Hanapi sudah tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kancah bola sepak tempatan apabila dia sekali lagi memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan selain menggondol dua lagi anugerah iaitu Pemain Muda Terbaik dan Pemain Penyerang Terbaik.

Arif Aiman cemerlang 2022.

JDT bukan sahaja mencipta sejarah di peringkat domestik malah semakin garang di peringkat Asia apabila buat pertama kali berjaya layak ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC selepas menjuarai kumpulan yang disertai Ulsan Hyundai, Kawasaki Frontale dan Guangzhou FC sebelum perjalanan mereka terhenti apabila tewas 0-5 kepada Urawa Red Diamonds.

Ketika sibuk mencipta sejarah terdapat juga beberapa perkara kontroversi yang melibatkan kelab dari selatan tanah air ini. Ketika sedang berada pada tahap terbaik mereka membuat kejutan dengan menukar ketua jurulatih, Benjamin Mora atas alasan peribadi yang juga menyaksikan beberapa staf turut meninggalkan kelab.

Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 yang berlangsung di luar kalendar antarabangsa FIFA juga menyaksikan JDT tidak melepaskan pemain-pemain utama hingga mencetuskan perdebatan di kalangan pemerhati bola sepak yang seakan mempertikaikan tindakan juara liga itu.

Namun mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh FIFA, pasukan tidak wajib melepaskan pemain mewakili pasukan kebangsaan untuk sebarang kejohanan yang dilangsungkan di luar kalendar FIFA sekaligus menjadikan JDT tidak bersalah dalam hal ini.

Tidak akan lekang bola sepak Malaysia tanpa tindakan luar biasa dari pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang pada pertengahan musim memberitahu akan melepaskan jawatannya dalam kelab dan pada akhir musim ini menyatakan bahawa pemain bukan mesin merujuk kepada kontroversi panggilan kebangsaan.

Disebalik kontroversi, TMJ juga begitu mengambil berat tentang keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil dan Baginda meminjamkan penutup kanvas sebelum perlawanan akhir Piala FA dan juga Piala AFF selepas Malaysia mendapat malu akibat keadaan padang yang begitu teruk ketika Kelayakan Piala Asia.

JDT juga dilihat banyak membantu kejayaan skuad kebangsaan apabila dengan kehadiran pemain-pemain dari kelab itu serta gabungan pemain terbaik yang lain, Malaysia berjaya layak secara merit ke Piala Asia selepas 35 tahun.

Selain itu, skuad Harimau Malaya juga berjaya muncul juara kejohanan King’s Cup yang diadakan di Chiang Mai selepas tewas menerusi sepakan penalti kepada Tajikistan sekaligus membantu ranking Malaysia.

 

Menjelang musim 2023, TMJ mengatakan JDT akan turun sebagai pasukan underdog kerana Baginda sedar bukan mudah untuk mengulangi kejayaan yang cukup cemerlang yang bukan hanya melibatkan pasukan bola sepak malah kesemua sukan yang membawa nama negeri Johor.

Tahun 2022 kini melabuhkan tirainya dan JDT sudah pun bersedia untuk menghadapi musim 2023 dengan bakal membawa masuk beberapa nama baharu untuk memperkuatkan lagi skuad yang sedia ada selain melepaskan pemain secara pinjaman kepada kelab lain.