JARINGAN daripada Marcus Rashford, Anthony Martial dan Fred membolehkan Manchester United meraih tiga mata ketika berdepan Nottingham Forest.

Keputusan 3-0 itu menyaksikan skuad bimbingan Erik Ten Hag kini hanya satu mata di belakang penghuni tangga keempat Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur, dengan kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Bermula dengan intensiti tinggi, Manchester United sememangnya dijangka menguasai perlawanan sejak awal lagi.

Selepas melakukan beberapa percubaan, skuad Ten Hag akhirnya memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-19. Christian Eriksen mengambil sepakan penjuru, dilorongkan ke tengah di luar kotak penalti berjaya disudahkan Marcus Rashford untuk tuan rumah mendahului.

Kedudukan berubah 2-0 hanya selang tiga minit kemudian, kali ini Rashford pula membantu jaringan apabila menolak bola ke tengah dan disudahkan Anthony Martial menewaskan Wayne Hennessey.

Rashford menjaringkan gol pertama Manchester United pada minit ke-19.

Forest hampir merapatkan kedudukan lima minit sebelum tamat babak pertama, apabila tandukan Ryan Yates melepasi garisan gol namun semakan kamera VAR, mendapati Wily Boly yang menyentuh bola sebelum itu sudah berada di posisi ofsaid.

United mempunyai banyak lagi peluang menambah jaringan untuk menamatkan semangat melawan Forest namun gol ketiga hanya terhasil pada minit terakhir permainan.

Aksi memukau Casemiro menyaksikan dia mempedaya pemain lawan sebelum melakukan hantaran kepada Fred yang kemudian mudah menolak bola ke gawan dikawal Hennesey.

Nampaknya ketiadaan Ronaldo tidak menjejaskan rentak kemenangan United, yang menyaksikan bintang tengah Brazil, Casemiro dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.