DUA pemenang pingat dalam acara angkat berat Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang didapati positif bahan terlarang jenis ‘anabolic androgenic steroid’ disahkan dari Terengganu.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas), Azura Bidin (gambar) yang turut memberitahu pihaknya sudah menghantar surat kepada kedua-dua atlet terbabit selain Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Terengganu (PBBABT) dan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk tindakan lanjut.
“Kedua-dua atlet terbabit mempunyai tempoh 14 hari dari tarikh surat dikeluarkan pada 23 Disember untuk memberikan maklum balas sama ada mahu membuka sampel B atau sebaliknya.
“Jika tiada sebarang respon atau mereka tidak mahu buka sampel B, kami akan menetapkan tarikh bagi sesi pendengaran,” katanya.
Dalam pada itu, Azura sekali lagi mengingatkan atlet untuk merujuk kepada pakar atau pegawai perubatan sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan atau suplemen bagi mengelakkan mereka terdedah dengan risiko gagal ujian doping.