INDONESIA gagal mengambil kesempatan beraksi di hadapan penyokong sendiri dan berkelebihan seorang pemain apabila diikat juara bertahan, Thailand 1-1 pada aksi ketiga Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
Keadaan panas yang diwujudkan penyokong tuan rumah ke atas bas pasukan Thailand nyata tidak mematahkan semangat anak-anak buah Mano Polking itu yang bangkit mengikat kedudukan selepas Sanrawat Dechmitr dilayangkan kad merah selepas sejam aksi berlangsung.
Aksi babak pertama dihadapan lebih 50,000 ribu penyokong itu tidak seperti diharapkan dengan hanya satu percubaan berbahaya dapat dijelmakan apabila peluang keemasan dimiliki Witan Sulaeman gagal menerjah jaring meskipun gawang terbuka luas.
AFF MITSUBISHI ELECTRIC CUP | Group A
FT: Indonesia 🇮🇩 1-1 🇹🇭 Thailand
⚽ 🇮🇩 Marc Klok 50' (P)
⚽ 🇹🇭 Sarach Yooyen 79'#KitaGaruda#AFFMitsubishiElectricCup2022#BeTheGameChanger pic.twitter.com/cg4iV6r3Y5— Flash Sukan (@FlashSukan) December 29, 2022
Indonesia meningkatkan tempo permainan pada babak kedua dan tidak sampai lima minit bersambung, Gelora Bung Karno meledak dengan sorakan para penyokong apabila Sang Garuda dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Marc Klok.
Nasib nyata tidak menyebelahi skuad Gajah Perang ketika itu apabila Sanrawat Dechmitr dilayangkan kad merah kerana melakukan terjahan keras kepada Saddil Ramdani.
Namun ianya langsung tidak mengganggu rentak Thailand untuk menguasai permainan dan akhirnya dapat menyamakan kedudukan mereka menerusi rembatan Sarach Yooyen dari luar kotak penalti 11 minit sebelum perlawanan tamat.
Kedudukan 1-1 kekal hingga tamat permainan dengan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata dan menyaksikan mereka terikat dengan tujuh mata tetapi Thailand berada di tangga teratas hanya dibezakan kelebihan perbezaan jaringan.
Perlawanan seterusnya bakal menyaksikan Indonesia akan ke Manila bertemu Filipina berkunjung manakala Thailand pula menanti Kemboja di Bangkok dengan tiket ke separuh akhir masih menjadi rebutan.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, Kemboja membelasah Brunei Darussalam 5-1 untuk membuka semula peluang ke separuh akhir tetapi sebaliknya buat Brunei yang melengkapkan kempen mengecewakan apabila berjaya tewas dalam semua perlawanan.