Foto: Bernama

PRESIDEN Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS) Datuk Markiman Kobiran lepas jawatan dan mengumumkan PSS bakal kembali ke pangkuan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Menurut Markiman, keputusan PSS menyertai semula PSM dibuat dalam mesyuarat persatuan itu baru-baru ini, dan keputusan dirinya melepaskan jawatan itu juga sudah dimaklumkan dalam mesyuarat terbabit.

“Saya sudah putuskan dalam mesyuarat yang kita kembali (bersama PSM) tetapi itu bukan bermakna saya lari keluar. Dalam mesyuarat baru-baru ini, kita sudah berbincang hala tuju PSS dan juga mandat diberikan kepada saya.

“Saya akan tamatkan tugas saya pada Mesyuarat Agung akan datang iaitu pada Januari atau Februari ini. Saya mahu peralihan antara kepimpinan saya dan yang baharu berjalan dan teratur. Siapa yang berpotensi dan ingin memimpin, tunjukkanlah kebolehan masing-masing untuk diberikan mandat itu nanti,” katanya.

Dalam pada itu Markiman berkata, beliau berharap pucuk pimpinan baharu yang akan dipilih pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PSS yang dijadual berlangsung Januari atau Februari ini dapat meneruskan idea yang tidak tercapai sebelum ini terutama ketika bersama PSM.

“Sudah tiba masanya untuk memberi ruang kepada orang muda memimpin Selangor. Kita bawa idea sejak 12 tahun lalu untuk memperbetul beberapa kelemahan dalam PSM terutama kebajikan pemain, peluang menambah pendapatan PSM dan isu perolehan PSM.

“Saya juga kecewa dengan beberapa isu lain seperti perjuangan mendapatkan semula Kompleks Sukan Titiwangsa untuk dijadikan Kompleks Sukan Sepak Takraw. Itu perancangan kita apabila cuba mengambil alih secara dalaman, apabila PSM dibatal keahlian, kita tubuhkan entiti baharu untuk menjadi badan induk kebangsaan.

“Namun percaturan politik dan campur tangan ASTAF (Persekutuan Sepaktakraw Asia) dan ISTAF (Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa) terlalu menyerlah sehingga kita dapati di bawah permainan merebut kuasa dan populariti, menjadi tajuk utama dalam kedua-dua pihak ini.

“Jadi, kita berjiwa besar memikirkan sekiranya campur tangan politik asing ini berterusan, maka kita tak akan ke mana-mana. Oleh itu, saya berharap segala idea kita untuk perbaiki sepak takraw dapat diteruskan oleh sesiapa saja yang memimpin,”katanya.

Dalam masa yang sama, Markiman memberitahu, meskipun dirinya tidak lagi menjawat jawatan presiden PSS, beliau tetap akan menyumbang buah fikiran dalam memajukan sukan tersebut di negara ini.

“Walaupun saya melepaskan jawatan tetapi sepak takraw tetap berada di hati saya. Saya akan sentiasa memberi kerjasama dan memberikan pandangan kepada PSS dan kalau di peringkat negara, saya akan memberikan pandangan kritis yang akan disuarakan dari semasa ke semasa.”