KEMBALI digandingkan bersama Teoh Mei Xing dan terus membalas kepercayaan jurulatih, dengan kejuaraan Cabaran Antarabangsa Malaysia awal bulan ini, Hoo Pang Ron hanya mampu menjanjikan aksi terbaik darinya dan rakan gandingan.
Selepas Pengarah Kejurulatihan Beregu Rexy Mainaky merombak gandingan beregu campuran bulan lepas, Pang Ron dan Mei Xing antara gandingan paling menonjol, namun dia mengakui, cabaran di Terbuka Malaysia yang berstatus Super 1,000, jauh berbeza berbanding Cabaran Antarabangsa.
“Kami akan melakukan yang terbaik pada perlawanan pertama terlebih dahulu. Saya dan Mei Xing akan duduk bersama menonton semula aksi kami berdua, menilai kelemahan dan perbaikinya.
“Paling utama adalah mempamerkan peningkatan di Terbuka Malaysia,” kata Pang Ron, ditemui ketika sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Berdasarkan senarai terkini ranking dunia yang dikemaskini 27 Disember lalu, gandingan Pang Ron-Mei Xing melonjak 11 tangga, ke tangga ke-158 dunia.
Kenaikan ranking itu dibantu kejayaan mereka muncul juara Cabaran Antarabangsa Malaysia, mengatasi Chen Tang Jie-Toh Ee Wei 18-21, 21-15, 21-19 di final.
Namun cabaran besar menantinya di pusingan pertama Terbuka Malaysia 10-15 Januari depan.
Pang Ron-Mei Xing akan berdepan gandingan campuran Jepun, Kyohei Yamashita-Naru Shinoya yang menghuni ranking ke-13 dunia, ketika ini.
Jika berjaya melakukan kejutan, tugas getir menanti mereka iaitu pasangan Rinov Rivaldy-Pitha Hanigtyas Mentari dari Indonesia (14).
Selepas Terbuka Malaysia, gandingan itu dijangka beraksi di Terbuka India atau Terbuka Thailand.
“Setakat ini belum ada perancangan, namun kami bergantung kepada perancangan jurulatih Nova Widianto,” kata Pang Ron lagi.