“AZEEM Fahmi hanya kemaskan barangnya hingga saat akhir sebelum keluar dari rumah di Teluk Intan.”

Hal itu dikongsi Norazah Ibrahim, 53, ibu pelari pecut yang juga pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m), Muhammad Azeem Mohd Fahmi.

Menurutnya, Azeem enggan dia membantunya mengemas pakaian untuk dibawa ke Universiti Auburn, Amerika Syarikat (AS) kerana mahu menguruskannya sendiri.

Norazah Ibrahim, 53, harap doanya menguatkan semangat Azeem untuk meneruskan matlamat hidupnya di Amerika Syarikat.

“Saya lihat ‘lugage’ dia masih kosong, jadi saya nak kemaskan barang dia, tapi dia cakap jangan, nanti dia buat sendiri.

“Azeem memang seorang pengemas dan suka melakukan segala-galanya sendiri. Jadi saya tidak teruskan niat saya kerana dia ada cara melipat kait tersendiri, cara gulung bajunya.

“Dia juga tahu ada orang masuk ke bilik dan menyentuh barangnya, kerana dia seorang yang sangat pengemas,” kata Norazah.

Norazah menyuap kek hari lahir kepada suaminya Mohd Fahmi, sempena ulang tahun kelahiran 1 Januari.

Mengulas mengenai isi kandungan surat yang Azeem bawa sebagai sebagai azimat kekuatannya, Norazah berakta: “Surat itu mengandungi doa, doa yang saya bacakan di hadapan Kaabah selepas tawaf sunat, tiada apa yang istimewa.”

Katanya, isi kandungan doa terbabit adalah: “Mama doakan Azeem berjaya capai apa yang diidam selama ini, Azeem nak banggakan mama, babah, family, Malaysia. Mama doakan Azeem berjaya menjadi pelari Malaysia yang berjaya beraksi di pentas dunia.”

Sementara bapanya, Mohd Fahmi Tajuid, 53, berkata, dia berharap Azeem terus kuat, tabah dan bersabar kerana anaknya itu perlu berdikari tanpa individu yang dikenali.

Mohd Fahmi, 53, mahu Azeem kejar impian sebagai atlet Malaysia yang berjaya.

“Paling utama adalah Azeem perlu sentiasa ingat apa matlamat dia berada di sana,” kata Fahmi.

Beliau turut meninggalkan tiga pesanan buat anaknya itu.

  • Walau di mana kita berada, buat baik kepada semua orang.
  • Bantu sesiapa yang memerlukan pertolongan.
  • Laksanakan tugas sebaik mungkin, sama ada dalam latihan mahupun akademik

Kata Fahmi: “Azeem perlu menjadi contoh kepada rakan sebaya, buktikan bahawa atlet juga mampu berjaya dalam akademik dan akademik juga mampu membawa kejayaan kepada sukan.”