SEBAIK sahaja memenangi Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) bagi penggal 2022-2026, Sulaiman Hussin bertekad menyebarkan lagi peranan persatuan itu kepada jurulatih baharu di luar.

Dia yang juga penolong jurulatih Kuching City FC kepada Irfan Bakti Abu Salim itu ingin semua pihak tahu mengenai kepentingan menjadi ahli persatuan terbabit.

“Misi dan visi saya adalah menambah dan menerangkan lagi kepentingan menjadi ahli persatuan jurulatih.

“Ruang persahabatan antara jurulatih dan benefits boleh diperolehi dengan menjadi ahli.

“Selain daripada mengikuti kursus kejurulatihan ataupun juga refresher course yang akan dijalankan pada masa hadapan kita juga ingin melihat ahli dapat manfaat menerusi kad-kad keahlian.

Sulaiman Hussin memberikan arahan kepada anak buahnya semasa perlawanan Liga Malaysia musim lepas.

“Contohnya mungkin selepas ini kita buat kerjasama produk sukan atau produk suplemen dan ahli dapat harga istimewa.

“Kita juga ingin buat engagement dengan cikgu sekolah supaya yang mengajar terutama bidang Pendidikan Jasmani ini ambil lesen kejurulatihan dan jadi ahli supaya menambah ilmu mereka.

“Kita mahu lihat ramai lagi cikgu terlibat secara langsung kejurulatihan terutama cikgu sukan. Ia supaya mereka mendapat banyak maklumat dan banyak kaedah bantuan dari persatuan jurulatih,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Sulaiman juga percaya Presiden PJBM, B Satiananthan turut merancang aktiviti pada masa depan bagi menarik lebih ramai jurulatih meningkatkan lagi tahap kursus lesen yang dimiliki sekarang.

“Ahli boleh upgrade lesen C ke lesen A serta tambah maklumat berkaitan kurus kejurulatihan pada masa depan. Walaupun tak banyak, inilah usaha saya memperkasa persatuan jurulatih pada tahap lebih baik. Insya Allah,” ujarnya.