LEBIH 600 pemain muda dijangka bersaing untuk merebut kejuaraan edisi ke-11 kejohanan Badminton Tertutup Johor 2023 yang akan berlangsung ini minggu di DBC Sport Arena, Pontian.

Kejohanan bermula 5 hingga 8 Januari kini bersedia untuk menjadi medan pertempuran pemain di seluruh negara mengambil bahagian dalam lima kategori, iaitu Bawah 21 Tahun (B-21), B-16, B-14, B-12 dan B-10.

Presiden Persatuan Badminton Johor (JBA), Mat Rasid Jahlil berkata, matlamat kejohanan adalah untuk memilih pemain mewakili Johor dalam peringkat kebangsaan serta memupuk mereka bermain kejohanan akan datang.

“Objektif kejohanan ini adalah untuk mengumpulkan seramai mungkin pemain di negeri ini Johor untuk mereka bermain secara kompetitif. Kejohanan ini juga merupakan platform untuk kita menilai dan pilih pemain untuk mewakili negeri Johor ke peringkat kebangsaan

“Ini juga sebagai salah satu persiapan persatuan menghimpunkan kumpulan pemain muda yang berpotensi mewakili Johor ke Sukan Malaysia (SUKMA),” katanya dalam kenyataan.

Kelab Badminton Ampang menaja wang tunai RM10,000 untuk edisi tahun ini dan turut mendapat sokongan daripada Negeri Johor Majlis Sukan, YOUNG-International, dan DBC Sport Arena.