JURULATIH Harimau Malaya, Kim Pan-gon berpuas hati dengan barisan pemain kebangsaan yang berjaya mempamerkan potensi terbaik ketika berdepan Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala AFF 2022.

Jelas, Pan-gon, pemain telah meletakkan jiwa dan raga dalam aksi menentang The Lions sehingga sanggup mengorbankan cuti mereka semata-mata untuk negara tercinta.

“Mereka berjaya meneroka potensi mereka di hadapan penyokong mereka. Mereka bertarung dengan penuh semangat.

“Mereka telah meletakkan passion dan hati di atas padang. Saya sangat berharap dan menantikan kejayaan malam ini.

“Mereka sanggup berjauhan dari keluarga. Saya dapat lihat mereka dahaga kemenangan. Saya sangat menunggu kemenangan hari ini. Mungkin juga kita boleh mendapatkan gol yang lebih pada hari ini,” jelasnya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada aksi tersebut skuad Harimau Malaya berjaya melakar kemenangan 4-1 ke atas Singapura.

Malaysia bakal berhadapan Thailand pada aksi separuh akhir Piala AFF pusingan pertama Sabtu ini.