Foto: Changsuek

THAILAND begitu sinonim dengan Kejohanan Bola Sepak ASEAN atau dikenali sebagai Piala AFF selepas sembilan kali berada dikelompok empat terbaik bermula 1996 sehinggalah 2022.

Enam kali bergelar juara dan tiga selaku naib juara, skuad yang mendapat jolokan Gajah Perang ini sudah 14 kali menyertai kejohanan Piala AFF dan agak janggal jika tiada penyertaan mereka dalam kejohanan dwitahunan ini.

Merekodkan 49 kemenangan, 19 seri dan sembilan kekalahan disepanjang penyertaan (1996-2022) memperlihatkan aura Thailand yang sememangnya agak sukar digugat.

Kejohanan Piala AFF 2022 merupakan edisi  ke-14 dan mereka sekali lagi mudah meraih slot selaku juara Kumpulan A hasil tiga kemenangan dan satu seri untuk meraih 10 mata dan bakal menentang Malaysia diperingkat separuh akhir.

Tearasil Dangda kini memegang tampuk penjaring terbanyak kejohanan Piala AFF 2022.

Hanya gagal meraih mata penuh ketika berdepan Indonesia, skuad bimbingan Alexandre Polking mudah menewaskan Brunei, Filipina dan Kemboja untuk meninggalkan Indonesia ditangga kedua dengan perbezaan jaringan gol.

Bagi Polking dia enggan mendabik dada selepas menyaksikan pasukan berjaya menjuarai Kumpulan A sebaliknya mahu barisan pemain fokus dalam usaha mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2022 kali ini.

“Tiada apa yang boleh dibanggakan setakat ini meskipun sasaran awal untuk menjuarai peringkat kumpulan telah pemain lakukan dengan cemerlang.

“Sebelum ini saya dah katakan bahawa kami mahu menang peringkat kumpulan kerana cukup penting apabila aksi separuh akhir kita akan memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri pada pusingan kedua nanti,” ujarnya selepas perlawanan terakhir menentang Kemboja, 2 Januari lalu.

Penyerang berbisa Thailand, Teerasil Dangda antara pemain yang seharusnya diberikan perhatian selepas berjaya meletakkan namanya di kedudukan teratas carta penjaring terbanyak Piala AFF 2022.

Pemain kelab BG Pathum United itu meledak dua gol ketika membantu Thailand menewaskan Kemboja 3-1 di laman sendiri,  sekali gus membolehkan skuad Gajah Perang mengesahkan slot ke separuh akhir selaku juara Kumpulan A.

Bintang Thailand berusia 34 tahun itu pernah empat kali bergelar penjaring terbanyak Piala AFF iaitu pada edisi 2008, 2012, 2016 dan 2020.

Info Ringkas

  • Penyertaan Piala AFF – 14 kali (1996-2022)
  • Juara Piala AFF – 6 kali (1996, 2000, 2002, 2014, 2016, 2020)
  • Naib juara – 3 kali (2007, 2008, 2012)
  • Gelaran : Gajah Perang
  • Ketua jurulatih : Alexandre Polking

Laluan ke pentas Separuh Akhir

  • Brunei (0) (5) Thailand
  • Thailand (4) (0) Filipina
  • Indonesia (1) (1) Thailand
  • Thailand (3) (1) Kemboja