MENJELANG dua aksi separuh akhir pertama Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 pada Jumaat dan Sabtu, tumpuan pemerhati dan peminat bola sepak serantau bukan sahaja tertumpu kepada siapakah yang bakal melangkah ke final malah turut terarah kepada siapakah yang bakal bergelar penjaring terbanyak kejohanan kali ini.
Keempat-empat pasukan yang layak ke separuh akhir masing-masing mempunyai pemain yang berpeluang muncul penjaring terbanyak sekiranya dapat menjaringkan gol dalam dua aksi separuh akhir dan mungkin dua aksi di final nanti.
Ketika ini, Thailand mempunyai dua pemain iaitu Teerasil Dangda dan Peeradon Chamratsamee manakala Malaysia pula mempunyai tiga pemain iaitu Faisal Halim, Stuart Wilkin dan Sergio Aguero dan Indonesia juga mempunyai tiga pemain iaitu Egy Maulana Vikri, Dendy Sulistyawan dan Marc Klok dengan Vietnam diterajui oleh Nguyen Tien Linh yang berpeluang muncul penjaring terbanyak.
Teerasil Dangda kini berjaya mengumpul lima jaringan dari peringkat kumpulan dan diekori rapat Faisal Halim dan Stuart Wilkin dengan tiga gol dengan ketiga-tiga pemain ini akan berentap dalam separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.
Skuad Garuda yang menjaringkan 12 gol ketika peringkat kumpulan bakal berhadapan tugas berat menentang Vietnam namun Indonesia mempunyai ramai pemain yang boleh menjaringkan gol dengan tiga pemain mendahului senarai masing-masing dengan dua jaringan.
Nguyen Tien Linh kini mendahului senarai penjaring Vietnam dengan tiga gol dan berpeluang menambah jumlah jaringan itu jika tidak diberikan perhatian oleh barisan pertahanan Indonesia dalam aksi di Stadium Gelora Bung Karno.
Secara keseluruhan, terdapat 30 pemain yang sudah menjaringkan gol dari keempat-empat pasukan ini dan sudah pasti aksi separuh akhir ini bakal memberikan bayangan awal siapa bakal menjadi penjaring terbanyak menjelang aksi final yang berlangsung pada 13 dan 16 Januari 2023.
Penjaring Terbanyak Piala AFF 2022
5 gol – Teerasil Dangda (Thailand)
3 gol – Faisal Halim, Stuart Wilkin (Malaysia), Nguyen Tien Linh (Vietnam)
2 gol – Dendy Sulistyawan, Egy Maulana Vikri, Marc Klok (Indonesia), Peeradon Chamratsamee (Thailand), Sergio Aguero (Malaysia)