MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menerima jersi baharu pasukan bola sepak negara yang disampaikan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, pada aksi terakhir Kumpulan B saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Nasional di Bukit Jalil, semalam.

FAM dalam satu hantaran di Facebooknya menyatakan pemberian jersi skuad Harimau Malaya yang lengkap dengan set nama dan nombor ‘HANAYO 9’, sebagai tanda penghargaan FAM kepada Hannah yang sentiasa memberi sokongan padu terhadap bola sepak negara.

Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut turut menyaksikan dan memberi sokongan kepada pasukan negara bimbingan Kim Pan-gon yang menewaskan Singapura 4-1, pada pertembungan semalam.

Turut hadir pada perlawanan dihadiri lebih 65,000 penonton itu ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Hamid.

“Pemberian jersi skuad Harimau Malaya yang lengkap dengan set nama dan nombor itu adalah sebagai simbolik penghargaan kepada YB Hannah dan jalinan kerjasama serta sokongan beliau kepada industri bola sepak negara,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Selepas tamat saingan kumpulan, Malaysia mengutip sembilan mata dan muncul naib juara di belakang Vietnam. Harimau Malaya mara ke peringkat separuh akhir dan akan menentang juara enam kali, Thailand pada Sabtu di sini.