GOLDEN Star Warriors itulah jolokan diberikan kepada Vietnam yang diletakkan sebagai pasukan pilihan mencabar kejuaraan Piala Bola Sepak ASEAN (AFF) pada edisi ke-14.

Berada dikedudukan ke-96 dunia, anak didik Park Hang-seo berada dalam reputasi tersendiri dengan mengungguli saingan Kumpulan B dengan 10 mata untuk meninggalkan Malaysia ditangga kedua.

Tewas 0-2 di laman sendiri sebelum seri tanpa jaringan untuk aksi timbal balik ditempat lawan, Vietnam terpaksa melupakan pentas final Piala AFF 2020 selepas kecundang ditangan Thailand dengan agregat, 2-0.

Itu dua tahun lepas, tetapi penampilan Vietnam sungguh berbeza apabila mereka tekad menebus kembali peristiwa kekalahan dua tahun lalu dan kini berada dilaluan tepat untuk melangkah ke pentas akhir.

Beraksi ditempat lawan berdepan Indonesia pada separuh akhir pertama sebelum aksi timbal balik dilaman sendiri.

Naga Emas tidak menunggu lama untuk mula membaham mangsa dengan kemenangan besar, 6-0 mengatasi  Laos  sebelum disusuli Malaysia (3-0) sebelum berjaya diikat seri tanpa jaringan menentang Singapura.

Vietnam akhirnya menamatkan aksi peringkat kumpulan dengan rekod tanpa kalah selepas membenam cabaran Myanmar 3-0 untuk mengesahkan juara Kumpulan A dan bakal berdepan Indonesia selaku naib juara Kumpulan B.

Dua peledak berbisa Vietnam, Nguyen Quang Hai dan Nguyen Tien Linh dianggap berpotensi menjadi senjata pemusnah saingan Piala AFF 2022.

Quang Hai berusia 25 tahun merupakan pemain kelab divisyen 2 Perancis, Pau FC memiliki pengalaman luas di peringkat antarabangsa apabila sudah 46 kali membuat penampilan bersama pasukan negaranya.

Bagi Tien Linh yang beraksi selaku penyerang kelab Becamex Binh Duong itu sudah mengumpul 13 gol bersama skuad antarabangsa Vietnam sejak 2018 dan membuat 32 penampilan serta dilabel sebagai antara pemain terbaik dalam generasinya ketika ini.

Info Ringkas

  • Penyertaan Piala AFF – 14 kali (1996-2022)
  • Juara Piala AFF – 2 kali (2008, 2018)
  • Naib juara – 1 kali (1998)
  • Gelaran : Golden Star Warriors / Naga Vietnam

Laluan ke pentas Separuh Akhir

  • Laos (0) (6) Vietnam
  • Vietnam (3) (0) Malaysia
  • Singapura (0) (0) Vietnam
  • Vietnam (3) (0) Myanmar