JUARA Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan kembali melaporkan diri pada 8 Januari 2023 sebelum terbang ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu untuk kempen pra musim sebagai persediaan menghadapi musim Liga Malaysia 2023.
Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, JDT sentiasa memilih Dubai sebagai tempat latihan pra musim mereka kerana berpeluang untuk menguji kelab-kelab Eropah yang turut menjadikan Dubai sebagai tempat latihan ketika musim sejuk di negara mereka.
JDT juga turut mengumumkan lima lawan yang bakal dihadapi di Dubai dalam perlawanan persahabatan pra musim antarabangsa dengan menguji tiga kelab Russia, satu kelab Bulgaria dan satu kelab UAE menurut hantaran yang dimuat naik di laman sosial rasmi kelab.
SOUTHERN TIGERS RETURN FOR PRESEASON JAN 8, SET FOR FRIENDLIES IN DUBAI AGAIN
JDT players and coaching staff will report for duty on January 8 ahead of the 2023 campaign and travel to Dubai, United Arab Emirates for preseason international friendlies.
[1/2] pic.twitter.com/K78qWiuYRC
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) January 4, 2023
Harimau Selatan akan bertemu pasukan Russia, FC Rostov, FC Lokomotiv Moscow dan FC Zenit St.Petersburg serta menguji kelab Bulgaria, FC Levski Sofia serta satu kelab UAE yang akan diumumkan kelak.
Keempat-empat pasukan Eropah ini adalah kelab terkemuka dari Liga Super Russia dan Liga Bulgaria dengan seringkali melayakkan diri ke Liga Juara-Juara UEFA sebelum Russia dikenakan sekatan oleh UEFA kerana menceroboh Ukraine.
Levski Sofia pula adalah kelab dari Bulgaria yang bersaing di peringkat kelayakan Liga Conference UEFA serta muncul juara Piala Bulgaria musim lalu dan pernah bermain selama 15 musim di Liga Juara-Juara UEFA dan Piala Europa.
Lawan-lawan berkualiti ini sudah pasti akan memberikan pendedahan yang baik buat JDT dalam usaha mereka meraih kejuaraan ke-10 Liga Super dan juga menyamai rekod layak ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC musim lalu.
Dibawah kendalian jurulatih baharu Esteban Solari, sudah pasti JDT mahu menjadikan kempen pra musim ini sebagai medan terbaik buat mereka untuk mendapatkan rentak dan memahami kehendak yang dimahukan oleh jurulatih Argentina itu.