BEKAS pemain AC Milan berasal dari Jepun, Keisuke Honda secara rasminya meninggalkan tugasnya di pasukan Kemboja sebagai pengurus selepas tersingkir dari Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.
Perkara ini disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Kemboja (FFC) melalui hantaran di akaun instagram rasmi mereka namun Honda masih memiliki satu tugas yang harus diselesaikan bersama skuad muda negara itu iaitu sebagai jurulatih skuad B22 Kemboja untuk Sukan Sea 2023 di laman sendiri pada Mei.
FFC juga berterima kasih kepada pemain legenda Jepun itu yang telah banyak membantu membangunkan bola sepak Kemboja sejak Ogos 2018 hingga Januari 2023.
“Persatuan Bola Sepak Kemboja mengucapkan terima kasih kepada pengurus pasukan Keisuke Honda atas waktu dan dedikasinya kepada skuad kebangsaan Kemboja sejak Ogos 2018 hingga Januari 2023.
“Keisuke Honda akan melanjutkan tugas terakhirnya sebagai pengurus pasukan B22 Kemboja yang dijadualkan akan mula menjalani latihan pada Februari sebagai persiapan untuk Sukan SEA pada Mei 2023,” tulis kenyataan itu.
Dalam satu lagi hantaran di laman sosial yang sama, Honda dilihat memberikan ucapan terakhir kepada para pemain Kemboja supaya lebih berdaya saing dibawah kendalian jurulatih Ryu Hirose.
Dibawah seliaan Honda, Kemboja mencatatkan prestasi membanggakan di Piala AFF apabila berjaya mencatat dua kemenangan ke atas Filipina dan Brunei dan hanya tewas tipis kepada Thailand dan Indonesia untuk menduduki tangga ketiga Kumpulan A.