KELAB Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) FC yang berwajah baru kini sedang merangka program pra-musim mereka di benua Eropah sebelum mengharungi aksi Liga Malaysia 2023.
Turkiye adalah destinasi pertimbangan Sang Kenari dengan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di sana nanti.
Jelas pemilik kelab, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, pengurusan kelab dan barisan kejurulatihan sedang merancang rapi dalam tempoh 50 hari dan perlawanan persahabatan menjadi tumpuan utama.
“Pra-musim 2023 sudah pasti tumpuan semua pihak bukan sahaja pengurusan malah penyokong, rakan kongsi dan semua peminat di Malaysia.
“Insya Allah jika semua perancangan berjalan lancar, Piala Perpaduan (Unity Cup) 2023 akan menjadi satu perlawanan persahabatan besar yang dirancang untuk diadakan sekali bersama pelancaran jersi dan pasukan KDA FC musim 2023 sekitar bulan Februari nanti,” katanya semasa Majlis Menandatangani Perjanjian Rakan Rasmi dan Pengumuman pasukan Liga Super KDA FC 2023 di House of Sang Kenari 1924, Alor Setar pada Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN : Manuel Hidalgo, Willian Lira diumum pemain import terbaru KDA FC
Pemain import baru, Manuel Hidalgo, Willian Lira Sousa dan juga Bojan Ciger akan menjadi antara mereka yang akan memulakan latihan bersama Nafuzi Zain minggu ini.