PERTAHANAN kebangsaan, Quentin Cheng mengakui tugas di bahagian kanan pertahanan pastinya sukar terutama untuk berdepan dengan pemain sayap yang laju namun yakin dia dapat menjalankan tugas dengan baik dengan bantuan daripada rakan sepasukan.

Dia juga turut berasa kecewa apabila tidak berpeluang bermain di hadapan penyokong yang lebih ramai Sabtu ini ekoran persediaan sebuah konsert yang sudah didirikan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Namun begitu dia tetap berharap kepada semua penyokong yang hadir agar dapat memberikan sokongan padu kepada semua pemain pada perlawanan separuh akhir pertama Kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 itu nanti.

“Saya menjangkakan kesukaran untuk mengekang kepantasan pemain sayap Thailand tetapi saya percaya rakan-rakan saya akan membantu melakukan ‘cover‘ apabila saya membantu serangan.

“Sudah tentu ianya sedikit mengecewakan kerana jika tidak saya yakin stadium akan penuh daripada sebelum ini, tetapi tiada apa yang kami boleh lakukan.

“Sekarang tiket sudah habis dijual dan semua pemain gembira mengenai itu, saya harap semua penyokong dapat bersorak dengan sekuat boleh kepada kami,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan rasmi.

Pertahanan Selangor FC itu juga turut menyuarakan keyakinan untuk berdepan juara bertahan, Thailand dan percaya bahawa ketua jurulatih, Kim Pan-gon mempunyai resipi sendiri untuk perlawanan itu.

“Kami yakin untuk menentang mana mana pasukan pada kejohanan ini. Jurulatih telah berikan taktikal dan kami hanya perlu mengikut sahaja apa yang dia mahukan dan jika kami dapat berikan permainan terbaik, saya yakin kami mampu kalahkan sesiapa sahaja,” tambahnya.

Quentin yang menggalas tugas Azam Azmi Murad yang digantung perlawanan mempamerkan aksi meyakinkan ketika membantu Malaysia membenam cabaran Singapura 4-1 sekaligus layak ke separuh akhir.