KETERUJAAN peminat bola sepak dunia untuk melihat penampilan pertama Cristiano Ronaldo bersama kelab Al-Nassr tertunda akibat hujan lebat yang melanda kota Riyadh.

Ronaldo, 37 yang menandatangani kontrak bernilai £175 juta setahun dengan kelab Arab Saudi itu telah diperkenalkan secara rasmi pada awal minggu ini.

Bagaimanapun, Ronaldo dipaksa menunggu untuk melakukan debut apabila dia masih dibawah penggantungan dua perlawanan oleh FA selepas dia menghempas telefon milik penyokong Everton ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris April lalu.

 

Meskipun dia kini sudah bermain di Arab Saudi, namun undang-undang FIFA menyatakan pemain itu masih perlu menjalani hukuman itu walaupun sudah berpindah ke liga yang lain.

Tetapi perlawanan pertama Al-Nassr dibawah era Ronaldo akhirnya terpaksa ditunda ekoran hujan lebat yang melanda ibu kota Arab Saudi itu yang menyebabkan masalah elektrikal di Stadium Mrsool Park.

“Akibat daripada hujan lebat dan keasaan cuaca yang kurang baik, ianya telah menggangu sistem elektrikal stadium dan kami secara rasmi mengumumkan perlawanan menentang Al-Ta’ee ditunda selama 24 jam. Kami memohon maaf atas segala kesulitan dan mengucapkan semua penyokong supaya selamat di perjalanan mereka,” tulis kenyataan kelab itu.

Ronaldo yang meninggalkan Manchester United dan Eropah untuk bermain di Arab Saudi turut berkata bahawa dia terpaksa menolak pelawaan beberapa kelab seluruh dunia untuk menyertai Al-Nassr.

“Saya mempunyai beberapa peluang di Eropah serta beberapa kelab di Brazil, Australia, Amerika Syarikat malah di Portugal yang mahu mengambil saya tetapi saya perlu mengotakan janji saya kepada kelab ini,” katanya.