AYAM tambatan baharu Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut, mahu menggunakan pengalaman beraksi di Eropah untuk meledak dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Menurut penyerang berusia 26 tahun itu, dia yakin mampu membantu TFC mencabar kejuaraan Liga Super setelah melihat potensi pasukan itu yang muncul naib juara pada 2022.
Bekas pemain FCSB dalam Liga Romania itu berkata, faktor ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner, juga menarik minatnya berkelana ke Liga M yang juga pengalaman pertamanya beraksi di Asia.
“Kali pertama turun ke sesi latihan hari ini (semalam), saya lihat TFC dibarisi pemain tempatan yang berkualiti serta tonggak import berpengalaman termasuk rakan senegara, Domigoj Pusic.
“Jurulatih (Steinbruckner) memberitahu projek dan cita-cita besar bersama kelab ini dan saya mahu menjadi sebahagian daripada TFC walaupun tiada pengalaman bermain di Asia.
“Sudah tentu tugas penyerang untuk menjaringkan gol dan kehadiran Adisak Kraisorn sebagai rakan gandingan akan membantu TFC pada musim ini,” jelasnya ketika ditemui FLASH SUKAN.
Mamut dan Pusic melengkapkan senarai awang import TFC yang merombak barisan pemain asing dengan hanya mengekalkan Habib Haroon daripada skuad tahun lalu.
Turut memperkuatkan Sang Penyu adalah penyerang Thailand, Adisak, bekas pemain sayap Melaka United, Sony Norde dan bek tengah kelahiran Uzbekistan, Sardor Qulmatov.