BEKAS pemain Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo sebelum ini pernah mendedahkan yang dirinya ingin terus kekal bersama-sama pasukan tersebut walaupun berbaki kontrak sehingga musim 2024.

Bagaimanapun, kejutan berlaku apabila kelab utara tanah air, Kedah Darul Aman (KDA) FC mengumumkan kemasukan pemain tengah asal Argentina berusia 24 tahun itu pada satu majlis pengenalan awang import baharu di Alor Setar pada Khamis.

Menerusi laman Instagram, Hidalgo mencoretkan sesuatu sebab mengapa dia harus meninggalkan skuad Tok Gajah.

“Baiklah…itu bukan cara saya mahu meninggalkan kelab tetapi saya faham bahawa ini adalah bola sepak dan apa sahaja boleh berlaku!

“Jadi saya hanya ingin mengucapkan terima kasih atas kasih sayang yang begitu banyak dalam hampir dua tahun ini, kepada peminat, kepada rakan sepasukan saya, kepada semua orang yang bekerja di kelab dan terutamanya kepada PRINCE BOSS kerana mempercayai saya apabila tiada orang lain melakukannya dan memberi saya berpeluang untuk menunjukkan lagi apa yang saya mampu lakukan.

“Pahang akan sentiasa di hati saya..MH88,” tulis kenyataan Hidalgo.

 

 

Musim lepas, Hidalgo menghasilkan tujuh gol untuk dan 11 bantuan gol dalam kesemua kejohanan yang disertai Sri Pahang.

Bersama Kedah, dia akan membentuk jentera tengah padu bersama Amirbek Juraboev , Manuel Ott dan bintang Harimau Malaya, Lee Tuck dalam regim kendalian Nafuzi Zain untuk kempen Liga Malaysia 2023.

ARTIKEL BERKAITAN : Manuel Hidalgo, Willian Lira diumum pemain import terbaru KDA FC