PRESIDEN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino hadir ke perlawanan pembukaan Piala Teluk 2023 ke-25 di Basra yang menyaksikan Iraq kembali menganjurkan kejohanan antarabangsa buat pertama kali sejak 1979.

Gianni disambut Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia’ Al Sudani, Presiden Persatuan Bola Sepak Iraq (IFA), Adnan Dirjal serta Menteri Belia Dan Sukan, Ahmed Al-Mubarqa, ketika perlawanan antara Iraq dan Oman di Stadium Antarabangsa Basra yang berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Kejohanan dwi tahunan itu turut disertai Bahrain, Kuwait, Yemen, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu. Kejohanan lapan negara itu akan berlangsung sehingga 19 Januari 2023 dengan keseluruhan kejohanan itu diadakan di Kota Basra dengan Stadium Olimpik Al-Minaa bertindak sebagai gelanggang kedua.

“Ianya sangat hebat untuk menghadiri upacara pembukaan dan juga perlawanan pertama Piala Teluk 2023 antara Iraq dan Oman di Basra. Saya sangat gembira kerana akhirnya pertandingan bola sepak kompetitif kembali semula ke Iraq, sebuah negara yang sangat cintakan bola sepak.

“Bola sepak adalah kegembiraan dan ianya memberi harapan kepada ramai individu dan dalam hal ini kepada seluruh negara. Stadium yang penuh dan atmosfera yang hebat di Basra hari ini adalah bukti kepada kenyataan ini.

“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada Persatuan Bola Sepak Iraq dan Kesatuan Bola Sepak Piala Teluk atas layanan yang mesra dan atas usaha untuk menganjurkan kejohanan ini yang menjadi tunjang kepada bola sepak sebagai platform penyatuan sedunia,” kata Gianni dalam ucaptamanya.

Stadium Antarabangsa Basra diterangi bunga api ketika upacara pembukaan rasmi Piala Teluk 2023.

Pada hari pertama kejohanan, Iraq gagal mendapatkan mata penuh selepas diikat Oman 0-0 manakala Arab Saudi berjaya menewaskan Yemen 2-0 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A.

Kumpulan B pula menampilkan Bahrain, Qatar, UAE dan Kuwait dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke peringkat separuh akhir pada 16 Januari 2023.

Kejohanan Piala Teluk 2023 ke-25 ini adalah kejohanan bola sepak dwi tahunan kali ke-25 untuk lapan anggota bola sepak teluk dengan Bahrain adalah juara bertahan apabila muncul juara menewaskan Arab Saudi dalam kejohanan yang berlangsung di Qatar.