PENGENDALI skuad hoki kebangsaan tidak mahu pemainnya terlalu menganggap lawan pertama, Belanda sebagai gergasi yang mustahil ditundukkan pada saingan Piala Dunia 2023 yang akan berlangsung di Bhubaneswar-Rourkela, India 13 hingga 29 Januari ini.

A Arulselvaraj berkata, tidak dinafikan Belanda lawan yang sukar namun Speedy Tigers bertuah kerana membuka tirai kejohanan menentang pasukan ranking ketiga dunia itu.

Ketua Jurulatih Hoki Kebangsaan, A Arulselvaraj mahu pemain fokus kepada perancangan yang sudah dibuat bagi menghadapi Belanda pada perlawanan pembukaan kumpulan C, 14 Januari ini.

“Kalau kita lihat apa yang terjadi pada Piala Dunia bola sepak lalu, sentiasa ada kejutan dalam perlawanan pertama.

“Memang kita tahu Belanda pasuka nombor tiga dunia, pastinya mereka memiliki kualiti tapi tiada pasukan yang menghadapi erlawanan pertama dengan mudah.

“Ini disebabkan faktor suasana, tekanan dan harapan yang diletakkan kepada pasukan di pentas Piala Dunia, berbeza,” kata Arul, sambil mendakwa Speedy Tigers tetap memiliki peluang membuat kejutan pada perlawanan menentang Belanda, 14 Januari itu.

Belanda, pasukan kedua terbaik dunia bersama Australia di kejohanan terbabit, selepas masing-masing memenangi tiga edisi Piala Dunia, manakala Pakistan paling cemerlang dengan empat kejuaraan.

Skuad negara selamat tiba di India, semalam dan dijadual mengadakan aksi persahabatan menentang Sepanyol pada Rabu ini sebagai aksi pemanas badan terakhir sebelum memulakan kempen pada Piala Dunia kali ini.

Selepas perlawanan pertama kumpulan C menentang Belanda di Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkel, skuad kebangsaan akan berdepan Chile di stadium sama dua hari kemudian sebelum menentang New Zealand di Bhubaneswar pada 19 Januari.

“Berdasarkan sesi latihan terakhir kami, semua pemain berada pada tahap terbaik mereka baik dari segi fizikal dan mental. Mereka sudah bersedia untuk memulakan saingan pada Piala Dunia kali ini,” kata Arul.

Pencapaian terbaik Malaysia di Piala Dunia adalah mengakhiri saingan di kedudukan keempat di laman sendiri pada edisi 1975 manakala edisi terakhir empat tahun lalu yang turut berlangsung di India menyaksikan skuad negara sekadar di kedudukan ke-15.