JURULATIH kelahiran Singapura, Aidil Sharin Sahak telah menyertai pasukan Liga 1 Indonesia Persikabo 1973 pada pertengahan musim.
Perpindahan itu dibuat selepas harapannya untuk dilantik sebagai jurulatih Young Lions musnah apabila Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) memilih Philippe Aw Thiam Hor bagi menghadapi Sukan SEA 2023.
“Saya benar-benar mahu menyumbang dan melakukan bahagian saya untuk bola sepak Singapura dan amat mengecewakan saya tidak dapat menyertai Young Lions.
“Bagaimanapun, saya berbesar hati kerana diberi peluang ini bersama Persikabo dan menantikan cabaran itu,” kata Aidil.
Persikabo kini berada di tangga ke-9 dalam kedudukan selepas bermain 17 perlawanan setakat ini.
Tugasan pertamanya adalah menentang Persebaya Surabaya pada 14 Januari, perlawanan di tempat lawan manakala aksi pertamanya di tempat sendiri akan menentang Dewa United pada 18 Januari.
Sebelum Persikabo, Aidil mengendalikan Kedah dalam Liga Super Malaysia dari 2019 hingga 2022, sebelum kontraknya tidak diperbaharui selepas tamat musim lalu.
Difahamkan, dia dijangka bersama Pulau Pinang tetapi memutuskan untuk melepaskan peluang itu, sambil menanti untuk mengendalikan skuad Young Lions yang akhirnya tidak kesampaian.