KEPUTUSAN pengadil dari Korea Selatan yang tidak membenarkan jaringan kedua Malaysia menimbulkan pertikaian para pemain dan penyokong tegar bola sepak Harimau Malaya.

Gol yang diibaratkan ‘dirompak’ oleh Kim Dae Yong sepatutnya memberikan kelebihan selesa pasukan negara di tempat lawan untuk aksi kedua separuh akhir Piala AFF 2022 di Bangkok, Thailand pada Selasa.

FLASH SUKAN cuba mendapatkan penjelasan lanjut daripada bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh.

Namun, Subkhiddin enggan mengulas lanjut kerana sedang berada di Basra, Iraq untuk kejohanan Piala Teluk 2023.

“Tak sempat menonton lagi. Saya masih dalam studio di sini untuk observe dua match.

“Aksi Bahrain dan UAE baru selesai dan bersedia untuk Kuwait menentang Qatar pula,” ujarnya pada Sabtu malam.

Beliau juga meminta peminat tanah air bertenang dan menerima sahaja keputusan pengadil perlawanan.

“Fokus aksi kedua (di Bangkok),” katanya ringkas.

Jaringan tunggal pemain baharu Selangor FC, Faisal Halim pada minit ke-12 sudah cukup untuk memberikan kelebihan kepada pasukan Kim Pan-gon dalam misi mara ke pentas akhir kejohanan kali ini.