KETUA Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan-gon berbangga dengan aksi yang ditunjukkan oleh para pemainnya dan mahu aksi seperti ini diteruskan pada separuh akhir kedua di Bangkok pada Selasa.
Pan-gon juga sedar kelebihan 1-0 tidak menjamin laluan mudah buat Malaysia di tempat lawan tetapi apa yang penting adalah Harimau Malaya tidak melepaskan sebarang gol pada perlawanan ini.
Dia juga gembira kerana para pemain dapat mengatasi keadaan dalam menghadapi perlawanan yang sukar ini dan memuji sikap bersatu yang ditunjukkan oleh mereka sepanjang kempen Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.
Keputusan Masa Penuh
Separuh Akhir 1 Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 | Sabtu, 7 Januari 2023
MALAYSIA 🇲🇾 1-0 🇹🇭 THAILAND
⚽️ Faisal Halim 11'
▶️ Separuh Akhir 2 di Bangkok pada Selasa, 10 Januari 2023#FAM #HarimauMalaya #AFFMitsubishiElectricCup2022 pic.twitter.com/3xxi7jXlJi
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) January 7, 2023
“Tahniah kepada semua pemain Harimau Malaya, saya bangga dengan mereka dan semua penyokong Malaysia juga seharusnya berbangga dengan apa yang ditunjukkan oleh mereka serta saya berterima kasih kepada semua penyokong yang menjadi pemain ke-12 dengan atmosfera yang baik.
“Perlawanan masih belum berakhir kerana masih ada 90 minit lagi di Bangkok. Kami perlu lakukan pemulihan dengan segera kerana perlawanan selepas ini dijangka lebih sukar tetapi saya percaya dengan kesemua pemain Harimau Malaya.
“Perlawanan ini sangat sukar kerana kita tahu kekuatan Thailand dengan ranking yang lebih baik. Kami cuba untuk memberikan tekanan dan ianya bukan mudah. Saya berpuas hati kerana pemain dapat mengatasi situasi yang sukar ini dan mereka bersatu sebagai satu pasukan dan belajar dari kesilapan.
“Kemenangan 1-0 ini tidak mencukupi tetapi apa yang penting kami tidak melepaskan sebarang gol. Kita mungkin menang 3-0 hari ini kerana mempunyai tiga peluang yang baik. Pemain mempunyai mental yang kuat dan kami akan bermain habis-habisan di Thailand,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Ditanya komennya tentang keputusan pengadil yang dilihat sedikit kontroversi, Pan-gon secara berseloroh mengatakan dia tidak mempunyai duit yang banyak untuk membayar denda oleh itu dia tidak mahu memberikan komen tentang mutu pengadilan.
Malaysia bakal terbang ke Thailand pada Ahad untuk menghadapi perlawanan separuh akhir kedua dengan membawa kelebihan satu gol untuk aksi di Stadium Thammasat, Bangkok pada Selasa.