PEMAIN pertahanan muda negara, V. Ruventhiran mengakui bukan mudah untuk bertahan menentang pemain Thailand namun dia percaya dengan arahan yang diberikan oleh ketua jurulatih dan dia hanya mengikuti arahan yang diberikan.

Dia juga mahu berterima kasih kepada Kim Pan-gon yang memberinya peluang untuk beraksi pada perlawanan yang besar ini dan mahu kekal fokus kerana masih ada satu lagi perlawanan yang perlu diselesaikan di Bangkok.

Pemain berusia 21 tahun itu juga mahu menjadikan pengalaman ketika menewaskan Thailand pada aksi King’s Cup September lalu sebagai semangat meskipun hanya duduk di bangku simpanan ketika itu.

“Pertama sekali terima kasih kepada jurulatih kerana beri saya peluang bermain dalam perlawanan yang besar. Namun perjuangan masih belum selesai kerana masih terdapat satu lagi aksi dan kami perlu bekerja lebih untuk memastikan kami layak ke final.

“Kami pernah menang menerusi penalti menentang Thailand di Kejohanan King’s Cup dan saya tidak bermain ketika itu dan ianya memberikan saya semangat kerana masih mendapat kepercayaan dari barisan kejurulatihan.

“Memang sukar untuk bertahan ketika berhadapan Thailand dan semuanya berjalan mengikut apa yang dikehendaki oleh barisan kejurulatihan yang banyak memberikan kata-kata semangat,” katanya yang menerima gelaran pemain terbaik perlawanan.

 

Ruventhiran juga berterima kasih kepada seluruh penyokong Harimau Malaya yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil kerana telah banyak memberikan sokongan dan motivasi buat para pemain.

Skuad Harimau Malaya dan Ruventhiran kini bakal membawa cabaran Malaysia ke Thailand dengan kelebihan agregat 1-0 untuk aksi timbal balik Kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.