SEGELINTIR penyokong Malaysia menjadi kecaman gara-gara melakukan tindakan tidak sepatutnya semasa menentang Thailand pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.
Pemain Thailand ditembak oleh pancaran laser pada babak kedua ketika kedua-dua pasukan bertembung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu malam.
Malaysia berjaya menang tipis 1-0 ke atas pasukan pilihan, Thailand dengan gol tunggal negara dijaringkan oleh Faisal Halim pada minit ke-11.
Namun, kemenangan Harimau Malaya dicemari dengan tindakan tidak bermoral segelintir penyokong tempatan. Penyokong Malaysia sekali lagi memancarkan suluhan laser ke arah pemain lawan. Laser dilepaskan terutamanya pada minit ke 54.
Ketika itu pemain Malaysia terlibat dalam insiden dan bertelagah selepas pengadil membatalkan jaringan yang menggandakan kelebihan pasukan kendalian Kim Pan-gon.
Dua pemain Thailand, Pansa Hemviboon dan Teerathon Bunmathan menjadi mangsa. Dalam siaran langsung menerusi televisyen, Safawi Rasid mengingatkan peminat supaya menghentikan tindakan ini.
Terdapat juga balingan dan layangan objek ke dalam stadium semasa perlawanan berlangsung.