PENGENDALI Thailand Alexander Polking sukar menerima hakikat selepas pasukannya tewas 1-0 kepada Malaysia dalam aksi separuh akhir pertama Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Bagaimanapun Polking masih belum mengibarkan bendera putih kerana masih ada 90 minit lagi permainan walaupun sedar bukan mudah untuk menghadapi Malaysia di Stadium Thammasat, Bangkok.
Dia juga tidak menyangka Thailand boleh mendominasi perlawanan dengan mencipta banyak peluang namun masih tidak berjaya keluar dari perlawanan sebagai pemenang.
"Ianya sukar untuk tewas seperti ini. Tahniah kepada Malaysia, penyokong mereka berjaya membantu aksi mereka. Kami kawal perlawanan, cipta peluang tetapi kami tewas" – Alexander Polking#AFFMitsubishiElectricCup2022 #BeTheGameChanger pic.twitter.com/ESOUj1p6DT
— Flash Sukan (@FlashSukan) January 7, 2023
“Ianya masih belum berakhir. Kami akan bermain di laman sendiri dan cuba lihat apa yang kami boleh lakukan. Sukar untuk menerima kekalahan seperti ini. Tahniah kepada Malaysia kerana penyokong membantu mereka beraksi baik. Kami kawal perlawanan, cipta peluang tetapi Malaysia menang.
“Kami percaya kami mampu lakukan. Ianya adalah satu lagi perlawanan berbeza kerana kami tidak tahu apa yang bakal berlaku pada Selasa kerana kami sepatutnya menjaringkan gol hari ini dan bukannya bangkit di Bangkok.
“Kami mempunyai kualiti, pemain yang bagus dan penyokong yang juga fanatik. Ianya masih terbuka dan sudah pasti ianya satu lagi perlawanan yang sukar buat kedua-dua pasukan.
“Saya tidak menjangka kami boleh mendominasi perlawanan. Malaysia adalah pasukan yang bagust tetapi hari ini kami lebih baik dan ianya bukan perlawanan 50-50 tetapi mereka yang menang. Inilah bola sepak,” katanya selepas perlawanan.
Dari riak wajahnya jelas dia tidak dapat menerima keputusan ini dan Polking mengakui dia tidak suka kalah dan membencinya tetapi mahukan semua pihak bertenang kerana semalam bukanlah hari yang baik buat mereka dan akan mencuba lagi pada Selasa.
Thailand akan mempertahankan kejuaraan Piala AFF dengan ketinggalan satu jaringan dan akan menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri untuk memadam kelebihan awal Malaysia.