PERTAHANAN negara, Sharul Nazeem Zulpakar tidak kisah siapa pun yang akan dipilih oleh ketua jurulatih untuk mengisi bahagian pertahanan pada aksi separuh akhir kedua nanti kerana padanya apa yang penting adalah Malaysia layak ke final.

Dia dan rakan sepasukan juga mahu terus fokus kepada perlawanan kedua itu nanti dan bersedia untuk menerima asakan Thailand serta bersedia menerima apa sahaja arahan daripada barisan kejurulatihan.

“Apa yang perlu kami lakukan sekarang adalah ‘recover’ dengan cepat kerana hanya ada tiga hari sahaja. Semua pemain perlu bersedia dan fokus sepanjang 90 minit dan berharap dapat layak ke perlawanan akhir.

“Semuanya bergantung pada percaturan jurulatih dan saya tidak kisah siapa pun yang diturunkan asalkan dapat layak ke final dan siapa yang bermain perlu berikan yang terbaik.

“Memang kami semua penat kerana lepas kami dapat gol kami bertahan. Kami berada pada tahap kepenatan 10/10 tetapi kami berjuang demi Malaysia,” katanya selepas perlawanan.

Sharul atau mesra disapa Afro juga berharap mereka semua dapat mengawal tekanan ketika beraksi di Bangkok kerana Harimau Malaya tidak boleh beraksi secara bertahan selama 90 minit tetapi percaya dengan apa yang bakal dicaturkan oleh barisan kejurulatihan.

Malaysia membawa bekalan satu gol ke Bangkok dan sebarang keputusan positif di Stadium Thammasat pada Selasa bakal menyaksikan skuad kebangsaan layak ke final Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 menentang sama ada Indonesia atau Vietnam.