PENGERUSI kelab Divisyen Satu Thailand, Port FC, Nualphan Lamsam tidak menolak kemungkinan untuk menjalinkan kerjasama dan pelaburan dalam industri bola sepak Malaysia.

Namun baginya semua ini hanya akan mampu dilaksanakan jika ada mana-mana pihak yang sanggup bekerjasama dengannya.

“Untuk turut serta dalam bola sepak, saya fikir ia sesuatu yang bagus jika adanya rakan kongsi. Industri bola sepak di rantau ini makin membangun.

“Jika sesebuah negara ada liga yang bagus, maka skuad kebangsaan juga akan jadi bagus kerana dua perkara ini sentiasa berkait rapat,” katanya Lamsam yang lebih dikenali sebagai Madam Pang.

Madam Pang yang juga merupakan pengurus pasukan Thailand ketika ini berjaya meletakkan pasukannya menghuni tangga ketujuh Liga Thailand dengan mengumpul 22 mata hasil lima kemenangan dan tujuh seri selepas 15 perlawanan.

Wanita yang dilahirkan pada 21 Mac 1966 dipilih berdasarkan pengalamannya dalam sukan bola sepak dan pernah menjadi pengurus pasukan bola sepak wanita Thailand di Piala Dunia sebanyak dua kali.

Berusia 56 tahun Madam Pang juga merupakan pemilik dan pengerusi kelab Thai League, Port FC akan terlibat dalam pemilihan jurulatih baharu skuad Thailand untuk mencari pengganti Akira Nishino yang dipecat kerana gagal mencapai sasaran ditetapkan.

Sangat rapat dengan pemain, sering memberi motivasi kepada mereka dan dianggap seperti ‘ibu’ kepada pasukan, hartawan wanita itu memainkan peranan yang amat besar sebagai pengurus.

Tidak sekadar menjanjikan habuan-habuan lumayan kepada pemain jika muncul juara, dia juga seorang yang sering mendengar keluh kesah mereka, malah dianggap seperti pakar psikologi tidak rasmi pasukan.

Amat disegani oleh pasukan Thailand, Madam Pang adalah pewaris kepada pengedar utama Hermes yang mempunyai empayar perniagaan bernilai RM408 bilion.

Presiden Persatuan Bolasepak Thailand (FAT), Somyot Phumohanmuang sebelum ini mendedahkan Madam Pang sendiri telah menawarkan khidmatnya untuk membantu mereka dan mempunyai rancangan memegang jawatan tertinggi menggantikan tempatnya dalam badan induk itu.