PERTAHANAN skuad kebangsaan Azam Azmi Murad kecewa dengan apa yang berlaku di Hanoi hingga menyebabkan dia dilayangkan kad merah pertama dalam kariernya namun dia menganggap ianya pengalaman baharu buatnya dan akan mematangkan lagi karektornya sebagai pemain.

Namun begitu dia tetap akan mempamerkan permainan seperti biasa dan tidak berasa takut sebaliknya menggunakan pengalaman kontroversi di Hanoi itu sebagai semangat buatnya untuk beraksi lebih baik.

Dia juga mahukan pasukan Harimau Malaya memberikan segala-galanya ketika aksi bertemu Thailand nanti bagi memastikan Malaysia layak ke final dan akan memberikan aksi terbaik sekiranya dia dipilih oleh jurulatih untuk beraksi di Bangkok.

“Bagi saya perkara ini adalah pengalaman baharu untuk saya sebab saya tidak pernah dilayangkan kad merah dan ia akan mematangkan saya dan menjadi pengalaman untuk saya serta berharap ianya tidak akan berlaku lagi dalam karier saya.

“Sebelum ini saya digantung dua perlawanan dan rasa sangat kecewa dengan insiden yang berlaku tetapi perkara itu sudah berlaku dan saya perlu lupakan dan fokus ke hadapan. Kini saya sudah bebas dari penggantungan dan bersemangat menolong pasukan ke final.

“Kalau saya diberikan peluang untuk bermain, saya akan berikan sepenuh hati dan tidak mahu memberi Thailand peluang untuk menjaringkan gol serta kita sendiri perlu memburu gol untuk layak ke perlawanan akhir.

“Saya juga berharap agar pasukan terus konsisten sebab kita tahu bahawa Thailand adalah pasukan yang bagus oleh itu kita perlu bekerja keras kerana kami menjangkakan satu lagi perlawanan yang panjang dan sukar,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Azam juga berkata jika diberikan peluang bertemu lawan mana sekiranya layak ke final, dia lebih memilih Vietnam berbanding Indonesia kerana mempunyai urusan yang masih belum selesai.

Skuad Harimau Malaya berlepas ke Bangkok pada Ahad untuk perlawanan separuh akhir kedua Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 di Stadium Thammasat pada Selasa dengan membawa kelebihan satu gol selepas menang di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.