PENYERANG muda Speedy Tigers, Shello Silverius tidak gentar untuk menghadapi saingan Piala Dunia pertamanya di Bhubaneswar-Rourkela, India, 13-29 Januari ini.

Bakal berdepan lawan gergasi, Belanda, Sabtu depan dalam perlawanan pertama kumpulan C, pemain kelahiran Sabah itu mengakui teruja dan tidak trauma biarpun mengalami patah tangan, kira-kira sebulan lalu.

“Ini adalah Piala Dunia pertama saya dan bersyukur kerana terpilih untuk mewakili negara. Saya nak mengucapkan terima kasih kepada barisan kejurulatihan yang memilih saya untuk berada dalam skuad ini.

“Berdebar itu tidak, sebaliknya teruja untuk beraksi bersama skuad kebangsaan di Piala Dunia.

“Sasaran peribadi saya adalah untuk buat yang terbaik dalam kejohanan yang berprestij tinggi ini dan ‘perform’ dalam setiap perlawanan jika saya diturunkan,” katanya.

Shello Silverius sudah selesa memegang kayu hoki dan tiada kesakitan dalam melakukan gerakan dan pukulan.

Dalam pada itu Shello ketika ditanya berkenaan kondisinya selepas mengalami mengalami patah tangan pada kempen Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara di Potchefstroom, Afrika Selatan baru-baru ini.

Dia mengakui kini sudah boleh menarik nafas lega apabila kini mampu untuk memegang kayu hoki semula.

“Saya gembira kerana akhirnya dapat pegang stick. Malah ketika ini saya sudah boleh lakukan hit dan reverse dan rasa sakit itu sudah tidak ada.

“Cuma ketika ini barisan kejurulatihan masih belum benarkan saya untuk terlibat dalam body kontak. Sebab mereka kata tangan saya perlu simpan untuk beraksi nanti,” ujarnya.

Pada saingan Piala Dunia kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama New Zealand, Chile dan juara tiga kali, Belanda.

Skuad negara akan menghadapi dua aksi peringkat kumpulan di Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkela menentang Belanda (14 Januari) dan Chile (16 Januari) sebelum bertemu New Zealand di Bhubaneswar pada 19 Januari.