NG Tze Yong dilantik sebagai duta terbaharu bagi minuman isotonik 100Plus, sekali gus menjadi tonik terbaik buatnya menghadapi saingan Petronas Terbuka Malaysia 2023.

Pelantikan pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022, menjadikan dia pemain badminton keenam sebagai duta selepas Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Pearly Tan, M Thinaah dan Lee Zii Jia.

Tze Yong berharap pelantikan sebagai duta 100Plus mampu menjadi pembakar semangat buatnya apabila turun berdepan pemain Republik Ireland, Nhat Nguyen pada pusingan pertama pada Isnin.

“Saya rasa sangat gembira dan berterima kasih kepada 100Plus atas tajaan yang diberikan. Sudah tentu saya akan cuba tampilkan aksi terbaik dalam setiap kejohanan disertai pada tahun ini.

“Sudah tentu saya mahu sampaikan berita baik kepada penaja dan kalau boleh, saya mahu berada dalam kelompok 20 terbaik dunia,” katanya, ketika ditemui selepas sesi latihan di Arena Axiata, Bukit Jalil hari ini.

Sementara itu, Pengarah Perniagaan F&N Leong Wai Yin berkata, pemilihan Tze Yong sebagai duta 100Plus selama dua tahun bermula 1 Januari 2023, dibuat kerana pemain terbabit adalah perseorangan pertama kebangsaan.

“Dengan pelantikan Tze Yong sebagai duta 100Plus, kita berharap dia akan lebih bermotivasi dan beroleh masa depan yang gemilang,” kata Wai Yin.

Mengulas mengenai saingan di Petronas Terbuka Malaysia, Tze Yong sedia berbincang dengan barisan kejurulatihan bagi mencari strategi terbaik untuk menewaskan pemain Ireland itu yang kini dibimbing bekas perseorangan lelaki kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Jika berjaya menewaskan Nguyen pada pertemuan esok, pemain nombor 25 dunia itu mungkin berdepan laluan sukar di pusingan kedua apabila dijangka berdepan pemain ranking kedua dunia, Lee Zii Jia.

“Saya sudah berbincang dengan jurulatih mengenainya (corak permainan) tetapi kita perlu tengok situasi perlawanan. Bagaimanapun, saya tidak boleh dedahkan mengenai strategi permainan.

“Mengenai kemungkinan bertemu Zii Jia di pusingan kedua, saya tidak fikir sampai tahap itu lagi kerana mahu fokus satu demi satu perlawanan. Kalau boleh, sudah tentu saya mahu menang,” ujarnya.