JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan dua lagi pemain import baharu bagi memperkuatkan lagi skuad Harimau Selatan bagi menghadapi musim 2023 yang akan berwajah baharu.

Dua pemain sayap dari Sepanyol, Juan Muniz dan Oscar Arribas akan berada dalam skuad JDT bersama-sama Diogo Luis Santo yang kembali semula ke Iskandar Puteri selepas berkelana ke Thailand selama dua musim.

Juan Muniz, 30 adalah bekas pemain remaja kebangsaan Sepanyol yang memulakan karier bersama kelab La Liga, Sporting Gijon dan meneruskan kariernya sehingga ke Greece bersama kelab Atromitos dimana dia melakukan 65 penampilan dan menjaringkan sembilan gol.

 

Seorang lagi bintang import baharu yang ditandatangani adalah Oscar Arribas, pemain warisan Sepanyol Filipina yang bakal bermain di bahagian tengah menyerang berusia 24 tahun.

Arribas adalah produk kelab Sepanyol, Alcorcon dimana dia melakukan 110 penampilan dan baru-baru ini dipanggil ke kem latihan pusat skuad Filipina sebagai persediaan ke Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Pengumuman kedua-dua pemain ini dibuat menerusi hantaran di laman sosial rasmi kelab sekaligus menamatkan spekulasi siapakah dua lagi pemain import yang dinyatakan oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

 

Selain mengumumkan dua pemain import ini, JDT turut mengesahkan Esteban Solari sebagai ketua jurulatih yang baharu dalam satu acara pengenalan di Ibu Pejabat JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.