PENGGUNAAN Video Bantuan Pengadil (VAR) akan dilaksanakan tahun ini namun secara berperingkat.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, perbincangan penggunaan VAR telah dibuat tiga bulan lalu.

“Sebenarnya perbincangan dah diadakan bersama Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Abd Ghani Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam.

“Insyallah kita akan buat pengumuman menerusi Jawatankuasa Pengadil MFL, kita akan bermula tahun ini kalau semuanya berjalan lancar.

“Tetapi bukan untuk semua perlawanan, mungkin contoh kita mulakan tahun ini untuk VAR ini bermula dengan suku akhir Piala FA dan Piala Malaysia

“Kita akan berterusan jadi perkara ini tidak boleh bermula dengan liga kerana melibatkan kos,” katanya ditemui pada Majlis Anugerah Ikon Sukan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Pada majlis tersebut Hamidin telah dinobatkan selaku ikon sukan kepimpinan.

Tambah Hamidin lagi, FAM juga telah menghantar pengadil keluar negara untuk menjadi jurulatih VAR.

“Jadi kita harapkan peminat semua bersabar,” tegasnya yang memaklumkan kos VAR akan ditanggung bersama dengan MFL.

Pada Sabtu, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata penggunaan VAR akan dilaksanakan tahun ini.

Perkara tersebut dikongsikan TMJ dalam satu ciapannya di Twitter sejurus sahaja tamat perlawanan antara Malaysia dan Thailand.

Menurut TMJ, perlaksanaan video bantuan pengadil (VAR) itu sudah dipersetujui dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“FAM dan MFL sudah bersetuju untuk menggunakan VAR dalam masa terdekat.

“Beberapa pengadil Malaysia sudah dihantar menjalani latihan bagaimana menggunakan VAR.

“Boleh rujuk dengan Presiden FAM, tahniah semua.”