PENGENDALI Perak FC Yusri Che Lah mengakui kemenangan 2-1 ke atas Selangor FC II pada aksi Liga Premier amat penting buat pasukannya.
Dengan kemelut dalaman pengurusan yang tidak berkesudahan sehingga dipotong tiga mata sebelum ini tidak mematahkan semangat pemain-pemain Perak FC.
“Susah nak bercakap mengenai keputusan. Tetapi saya memuji pemain-pemain tentang pengorbanan yang cukup besar dilalui.
“Tak semua orang boleh lalui apa yang kami lalui sekarang. Sesungguhnya keupayaan yang ada ditambah dengan usaha pemain dapat meraih tiga mata berharga sebab sebelum ini dipotong.
“Terima kasih kepada semua pemain,” ujarnya pada sidang media selepas perlawanan.
Jurulatih berusia 45 tahun itu turut meluahkan rasa kerinduan dengan sorakan Ultras.
“Saya bangga (dengan pemain-pemain), cuma saya menanti sokongan daripada Ultras. Saya ingat mungkin bulan Ramadan menyebabkan mereka tidak dapat bersama.
“Tetapi kami rindu sokongan mereka. Tanpa mereka rasanya ada sesuatu yang kurang walaupun kami meraih kemenangan.
“Pemain-pemain saya perlukan sokongan kerana kehadiran mereka dapat memberi impak kepada perlawanan.
“Lepas ni ada lagi tiga perlawanan (Kelantan FC, JDT II dan Kelantan United) bermain di tempat sendiri, jadi kami mengharapkan mereka.
“Semua orang tahu senario Perak FC sekarang. Sesungguhnya senjata utama adalah doa untuk mengembalikan prestasi,” tambahnya.
Perak FC kini berada di kedudukan ketujuh Liga Premier selepas tiga perlawananan dengan mengumpul tiga mata.