SEBAIK sahaja kami tahu Malaysia mengesahkan kemaraan ke separuh akhir bertemu Thailand, tanpa membuang masa kami mula menyusun langkah untuk misi pengembaraan penerbangan ke Bangkok.

Bersama jurufoto, Mohd Izari Rosli kami menyiapkan mental dan fizikal bagi ‘bertarung’ atas padang dalam segmen yang berbeza tetapi mempunyai matlamat sama, memberikan bahan bacaan dan gambar terbaik buat peminat Flash Sukan di tanah air. Terima kasih kerana menyokong kami dan skuad Harimau Malaya !

Namun, lokasi sedikit berbeza kerana ramai penyokong Harimau Malaya menyangka perlawanan akan diadakan di kubu magik Changseuk iaitu Stadium Rajamangala.

Tetapi pihak tuan rumah mengubah veneu pertandingan dan memilih Stadium Thammasat yang terletak kira-kira 50 kilometer dari sana.

Sedikit info, Stadium Thammasat merupakan gelanggang pelbagai guna di bandar Rangsit, Pathum Thani, Thailand. Pada masa ini ia digunakan kebanyakannya untuk perlawanan bola sepak. Stadium ini memuatkan 25,000 orang. Ia terletak di kampus Rangsit di Universiti Thammasat. Ia terletak berhampiran dengan Bangkok.

Namun ia tidak menghalang kecintaan FLASH SUKAN untuk hadir dan membuat liputan komprehensif bagi aksi kedua Piala AFF Mitsubishi Electric 2022. Jarak bukan penghalang buat kami dan juga peminat tegar Harimau Malaya yang bakal menempuh perjalanan 1,522 kilometer melalui jalan darat bermula kiraan dari Stadium Nasional Bukit Jalil ke Thammasat.

Jika menaiki kapal terbang, hanya dua jam 10 minit masa diperlukan untuk tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi dari KLIA.

Tinjauan kami petang ini sudah ramai penyokong Malaysia tiba di Bangkok sejak semalam.

Ada dari Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan seluruh negara hanya semata-mata mahu memberikan sokongan tidak berbelah bahagi buat pasukan Harimau Malaya.

Kereta Waja yang digunakan Boon Sis untuk hadir ke Bangkok.

Penyokong tegar dari Pendang, Kedah, Boon Sis Den Sing,56, optimis pentas final mampu menjadi milik Malaysia kerana barisan pasukan kebangsaan lengkap pakej di setiap posisi.

“Kami menempuh perjalanan yang jauh selama 16 jam. Bermula masuk dari pintu Bukit Kayu Hitam dan singgah di bahagian tengah Chumpon, Thailand.

“Semua ini untuk Malaysia. Tanah air kami. Semoga bola sepak kita memperoleh kemenangan malam ini,” katanya berkonvoi dua kereta bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

Ujarnya, dia akan terus pulang ke tanah air selepas tamat perlawanan.