BEKAS tonggak utama PKNS FC dan Kuala Lumpur City FC, Qayyum Marjoni menganggap penyertaan bersama Kuching City FC (KUFC) musim ini merupakan peluang kedua buat dirinya selepas setahun tidak beraksi secara kompetitif dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Turun mewakili KUFC pada aksi persahabatan menentang PIB FC, tuah nyata memihak buat pemain kelahiran Kelantan ini apabila berjaya memikat hati pengendali KUFC, Irfan Bakti Abu Salim sekaligus membuka peluang buat dirinya membina semula kerjaya.

Menganggap seperti peluang kedua, Qayyum memberikan penghargaan kepada Kuching City kerana masih mempercayai kemampuannya untuk bermain di peringkat paling kompetitif di Liga Malaysia.

“Semuanya bermula pada musim lalu apabila saya beraksi di Liga M3 bersama PIB dan satu perlawanan persahabatan telah diaturkan dengan Kuching City.

Qayyum kembali memeriahkan saingan bola sepak tempatan selepas hampir setahun tidak beraksi.

“Di situ Irfan nampak kelibat saya dan kami sebenarnya bukanlah asing kerana beliau sebenarnya pernah mengajak beraksi bersama Terengganu pada 2018 tetapi saya memilih ke PKNS.

ARTIKEL BERKAITAN: Kapten UiTM FC sertai Kuching City FC ?

“Jadi tidak sangka sekali lagi kesempatan hadir untuk saya bersama Irfan dan terima kasih juga kepada beberapa individu yang membantu merealisasikan perpindahan saya ke Kuching.

“Azam saya bersama Kuching City ialah mahu menaikkan kembali nama saya di dalam Liga Malaysia serta mahu mendapat panggilan kebangsaan,” katanya.

Qayyum yang berumur 29 tahun pernah menjadi antara prospek bola sepak Kelantan semasa mula diserap dalam pasukan senior pada musim 2016.

Selepas dua musim yang cemerlang, Qayyum yang beraksi di posisi pertahanan kiri memilih ke PKNS selama dua musim (2018-19) selain Kuala Lumpur City dan Kelantan United, untuk dua musim berikutnya.