MAMPUKAH perseorangan utama negara Lee Zii Jia melakar nama sebagai juara di Petronas Terbuka Malaysia tahun ini, selepas sering tersingkir awal pada dua penampilan lalu.
Apapun kemungkinan, segala-galanya bergantung kepada langkah pertamanya hari ini apabila pemain profesional yang menghuni ranking kedua dunia itu berdepan pemain utama Jepun Kodai Naraoka di pusingan pertama.
Pada penampilan pertamanya pada 2019 menyaksikan Zii Jia tewas seawal pusingan pertama sebelum ditunjuk jalan keluar di pusingan kedua pada tahun lalu.
Bagaimanapun pada edisi tahun lalu, dia bergelut dengan masalah kecederaan dan pemain nombor dua dunia itu berkata, kali ini dia berada dalam keadaan yang baik dan sudah bersedia untuk menampilkan persembahan terbaiknya.
Berdepan Naraoka, Zii Jia tetap berwaspada, kerana lawan itu tidak pernah ditemuinya sebelum ini selain menunjukkan peningkatan yang mendadak apabila hanya mengambil masa lima bulan untuk melonjakkan ranking dunianya daripada tangga ke-43 kepada nombor tujuh dunia.
“Untuk kali ini, memang saya dalam keadaan baik. Saya berharap semuanya berjalan dengan baik dan dapat menghasilkan keputusan yang baik di sini.
“Apabila saya masuk ke gelanggang, saya pasti akan berikan 100 peratus. Kodai gemar bermain rali yang panjang dan dia mempunyai permainan bertahan yang baik. Jika anda lihat hampir semua perlawanan dia tahun lalu mengambil masa lebih sejam,” katanya.
Jika berjaya melepasi halangan Naraoka, Zii Jia yang juga juara Asia dijangka bertemu seorang lagi pemain negara, Ng Tze Yong di pusingan kedua.
Pertembungan ‘adik-abang’ itu akan menjadi kenyataan sekiranya Tze Yong turut memenangi aksi pusingan pertama menentang pemain Ireland, Nhat Nguyen.
Sebagai rekod, kali terakhir pemain negara muncul juara di Terbuka Malaysia adalah menerusi bekas jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei yang merekodkan gelaran ke-12 pada edisi 2018 selepas menewaskan bintang Jepun, Kento Momota di pentas final.