BERADU latihan dengan pemain lelaki, antara idea yang muncul dalam kepala Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky.
Melihat aksi gandingan ranking keenam dunia itu yang tewas keapda gandingan adik-beradik Gabrielea Stoeva-Stefani Steova 19-21, 14-21 pada Selasa, Rexy merumuskan bahawa Pearly dan Thinaah tidak cukup agresif.
“Apa yang saya nampak dalam perlawanan itu, mereka tidak bermain dengan permainan mereka sendiri… tidak agresif seperti biasa.
“Jadi, saya fikir selepas ini mereka perlu lebih kerap menjalani latihan dengan beregu lelaki. Jika dibandingkan tahap permainan mereka dengan beregu wanita lain yang ada ketika ini, sangat jauh.
“Jika tidak berlatih dengan beregu lelaki, tahap agresif dan kekuatan mereka akan berkurang,” kata Rexy.
Ditanya sama ada Pearly-Thinaah berdepan dengan tekanan susulan harapan tinggi diletakkan di atas bahu mereka terutama selepas menjuarai Terbuka Perancis, tahun lalu, Rexy, berkata: “Daripada aspek psikologi saya akan berbicara dengan mereka sebelum ke Terbuka India untuk mendapat gambaran yang lebih jelas dalam hal ini.”
Pearly-Thinaah berpeluang menebus kekecewaan tewas di psuingan pertama Terbuka Malaysia di Axiata Arena kali ini, apabila beraksi dijadual beraksi pada Terbuka India yang bermula dari 17 hingga 22 Januari.
Mereka akan memulakan saingan menentang pasangan tuan rumah, Ashwini Bhat-Shikha Gautam di pusingan pertama kejohanan.