HANYA dua bulan digandingkan dan dipanggil menyertai Terbuka Malaysia pada saat akhir sebagai pemain gantian, Teoh Mei Xing-Go Pei Kee membalas kepercayaan jurulatih dengan menghadiahkan kemenangan di pusingan pertama Terbuka Malaysia.

Mei Xing-Pei Kee yang berada di ranking ke-193 dunia, menafikan segala perkara mustahil ketika menewaskan gandingan profesional negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien yang jauh lebih berpengalaman.

Lebih menakjubkan, Pei Kee yang tidak menyangka akan dapat beraksi di Terbuka Malaysia, langsung tidak menguji gelanggang dan tidak memahami keadaan angin di Axiata Arena.

Teoh Mei Xing, 26, berjaya memimpin Go Pei Kee, 21, mengharungi pusingan pertama Terbuka Malaysia dengan tenang.

“Masuk (menyertai) di saat akhir, dia (Pei Kee) langsung tidak menguji gelanggang, jadi saya yang beritahu dia apa perlu dilakukan jika melawan angin dan mengikut arah angin.

“Tapi ‘kepala’ dia mudah masuk, apa saya beritahu, apa coach beritahu dia dapat,” kata Mei Xing, 26, sambil ketawa selepas menang 21-13, 21-13 ke atas Vivian-Chiew Sien.

Bergandingan dengan Pei Kee yang lebih muda, selepas pasangan asalnya, Anna Cheong mengalami kecederaan ACL kira-kira tiga bulan lalu, Mei Xing tiada masalah dari segi keserasian.

Gandingan beregu wanita ke-15 dunia Vivian Hoo-Lim Chiew Sien akur tewas kepada rakan senegara.

“Keserasian tu ok, tak ada masalah kombinasi cuma kami terpaksa penat kerana tiada smash yang kencang,” kata Mei Xing lagi.

Pada Terbuka Malaysia tahun lalu, Mei Xing yang bergandingan dengan Anna melangkah ke separuh akhir.

“Saya tidak menjangka kami akan mencapai apa yang saya dapat tahun lalu, tapi harapnya kami mampu lakukan kejutan lagi esok,” kata Mei Xing.

Mei Xing-Pei Kee yang menggantikan tempat beregu nombor dua dunia dari Jepun, Chiharu Shida-Nami Matsuyama, menempah pertemuan dengan gandingan China Zhang Shu Xian-Zheng Yu di pusingan esok.