GANDINGAN beregu campuran sensasi kebangsaan, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menamatkan saingan Terbuka Malaysia tahun ini di pusingan pertama apabila tewas kepada gandingan ranking ke-12 dunia dari Indonesia, R Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati 18-21, 21-15 21-7.

Biarpun tidak kelihatan linangan air mata dari pemain jelita negara itu, namun jelas tersimpan begitu banyak memorinya bersama pasangannya, Chan Peng Soon.

“Saya dengan Chan Peng Soon sudah meraih banyak kejayaan. Ini memang adalah memori yang tidak dapat saya lupakan.

“Sebelum ini, saya fikir kalau boleh menang satu game pun kira satu bonuslah dengan Peng Soon,” jelasnya.

Menamatkan karier sebagai seorang pemain badminton profesional, Liu Ying hanya menikmati setiap detik permainannya hari ini.

Selain momen indah bersama Peng Soon, Liu Ying merindui penyokong dan peminat tegar badminton negara yang tidak jemu memberi sokongan kepada mereka sekaligus menyuntik semangat ketika beraksi di gelanggang.

“Tak kisahlah set pertama atau set ketiga , saya hanya fikir ingin berikan yang terbaik kepada penyokong di Terbuka Malaysia ini. Memang harap mereka (penyokong) akan rindu saya dengan Peng Soon.

“Memang daripada dulu saya mulakan kejohanan pertama bersama Peng Soon di sini sampai sekarang. Saya fikir penyokong Malaysia juga agak gila juga. Saya sangat terharu dengan mereka,” katanya.

Sementara itu, ayahnya juga sanggup hadir dari Melaka untuk memberi sokongan kepada puterinya dalam aksi terakhir sebelum menjadi alumni sukan badminton negara.

“Saya rasa dia (ayah) mesti sangat lega kerana sudah tidak payah risau saya cedera di sana sini.

“Hari ini dia ada di tempat penonton, datang dari Melaka tapi sayanglah anaknya tidak boleh menang,” ujarnya.

Pengakhiran kerjaya yang cukup signifikan  Liu Ying, dengan pencapaian tertinggi meraih pingat perak Sukan Olimpik, 2016 bersama Chan Peng Soon.

Memulakan kerjaya antarabangsa di Terbuka Malaysia, banyak kenangan manis sehingga pemain berusia 34 tahun itu memilih untuk berkongsi dengan peminatnya pada kejohanan yang sama, tahun ini.

“Peminat sentiasa memberi sokongan tidak berbelah-bahagi, saya rasa sedikit kecewa kerana tidak pernah memenangi Terbuka Malaysia. Hanya mara ke final sahaja dan muncul naib juara. Memang sedih tapi tetap gembira beraksi di laman sendiri,” kata Liu Ying.

Sepanjang bergandingan, Liu Ying dan Peng Soon meraih 12 gelaran sejak 2008 termasuk muncul juara Asia 2010 dan Terbuka Jepun 2012.

Mereka muncul naib juara dalam beberapa kejohanan utama termasuklah dua kali di Terbuka Malaysia 2013 dan 2016 selain Seluruh England 2017.