PASANGAN beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik lega lolos ke pusingan kedua Terbuka Malaysia selepas bergelut dalam aksi tiga set ketika berdepan gandingan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan.

Mengakui tumpul pada kejohanan pertama tahun ini, Aaron mengakui dia dan Wooi Yik agak tertekan beraksi laman sendiri.

“Tahun baru, semua bermula dengan kosong-kosong, tambahan pula kami perlu fokus kepada Terbuka Malaysia, mungkin ada sedikit tekanan. Ia memang perkara biasa untuk mendapat suasana kejohanan di set pertama,” kata Aaron selepas dia dan Wooi Yik mencatat kemenangan 16-21, 21-15, 21-16 ke atas gandingan dari Taiwan itu.

Aaron berkata, gandingan lawan sudah berjaya membaca corak permainan mereka sebelum mereka bangkit semula di set kedua.

Aaron-Wooi Yik yang juga pilihan keempat kejohanan akan berdepan wakil China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi di pusingan kedua esok.

“Saya rasa mungkin sebab kita baru mengharungi aksi pertama yang sangat sukar, jadi ia bagus untuk kita berdepan perlawanan sengit kerana selepas ini, lawan kami lebih sukar. Memang kita akan memikirkan satu demi satu perlawanan tapi bila dimulakan dengan kemenangan ia akan membuatkan kita lebih bersedia untuk aksi seterusnya,” kata Aaron.

Sementara itu, hasrat Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk mara ke pusingan kedua tidak kesampaian selepas mereka kalah straight set 18-21, 21-23 di tangan pilihan kedua dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Turut tersingkir di pusingan pertama, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, yang tunduk kepada gandingan China, Liang Wei Keng-Wang Chang, 21-16, 11-21, 17-21.

Hanya tinggal Aaron-Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee  Yi meneruskan cabarang beregu lelaki negara, di pusingan kedua esok.