It’s not about how you start, it’s about how you end it.

Apa lagi nak dikata. Malaysia bermula dengan baik semasa kempen peringkat kumpulan tetapi mengakhiri perlawanan dengan buruk di peringkat separuh akhir.

Harapan menggunung peminat dan juga para pemain untuk melihat mara ke pentas akhir berkecai selepas ditunjukkan jalan keluar oleh Thailand pada pertembungan yang tidak bermaya disajikan pasukan bergelar Harimau Malaya.

Mengimbas kembali perjalanan anak buah Kim Pan-gon semasa menewaskan Myanmar hasil jaringan tunggal Faisal Halim. Ramai pengkritik melihat ia satu persembahan meyakinkan kerana bermula cemerlang di tempat lawan.

Kemudian, moral tambahan terus melonjak-lonjak ketika membelasah pasukan kerdil, Laos 5-0 di Bukit Jalil sehingga mencetuskan angan-angan tinggi bahawa kemaraan kita ke final kali ini tanpa ada halangan.

Namun, episod ngeri berlaku di Hanoi. Tumbang 3-0 gara-gara ‘campur tangan’ pengadil yang seakan membunuh semangat pemain kebangsaan. Dalam perlawanan itu juga menyaksikan Azam Azmi dilayangkan kad merah kerana dikatakan mengasari Van Hau di luar padang selepas kedua-dua pemain terbabit terjatuh akibat aksi tolak menolak bagi merebut bola.

Kesudahannya, pemain Terengganu FC itu turut didenda sebanyak RM4,390 dan perlu diselesaikan dalam tempoh 30 hari selepas keputusan itu diumumkan.

Misi hidup mati berdepan Singapura dalam aksi pelengkap kumpulan. Sifir mudah, menang mara, kalah boleh melupakan terus saingan. Malaysia tidak ada masalah mendepani cabaran aksi ‘Causeway Derby‘ di halaman sendiri.

Bermula memasuki separuh akhir, harapan peminat mula meluap-luap inginkan Malaysia mendakap gelaran bagi edisi 2022. Malahan, Pan-gon semasa sidang media juga menyatakan menjuarai Piala AFF 2022 menjadi sasaran pentingnya bersama skuad Harimau Malaya.

Pencapaian mara ke separuh akhir sebenarnya cukup membanggakan seluruh peminat tanah air.

Namun, seperti yang diketahui perjalanan Harimau Malaya terhenti di separuh akhir apabila gagal membendung asakan bertali arus skuad Gajah Perang yang lebih bervariasi. Bagaimanapun, pencapaian pasukan negara dianggap membanggakan selepas Pan-gon menghadapi kekangan dalam membentuk skuad mantap untuk ke pertandingan itu.

Tidak ramai menaruh harapan tinggi kerana jurulatih asal Korea Selatan itu tidak menyenaraikan pemain-pemain tulang belakang dari skuad Johor Darul Ta’zim dan memaksa Pan-gon terpaksa memanggil ramai pemain kurang pengalaman sambil dibantu pemain senior seperti Brendan Gan, Safawi Rasid, Darren Lok dan Faisal Halim.

Malaysia perlu berpijak di bumi nyata dan mengakui hakikat bahawa skuad kali ini tidak semantap skuad yang membawa kita melangkah ke pentas Piala Asia.

Malah, pemain-pemain yang membarisi skuad kali ini kebanyakannya kurang pengalaman pada peringkat antarabangsa walaupun merupakan pemain regular di peringkat kelab liga musim lepas.

Faisal Halim muncul pemain terbanyak Malaysia dengan empat gol di kejohanan Piala AFF 2022.

Semoga Harimau Malaya tampil garang di edisi 2024 dan menyasarkan tumpuan lebih 120 peratus menjelang saingan Piala Asia yang dijadual bermula Januari tahun depan. Kutipan mata untuk ranking Fifa juga penting sepanjang tahun ini.

Terdapat lima jadual antarabangsa Fifa dan dengan setiap jendela membenarkan mana-mana skuad kebangsaan untuk bermain dua perlawanan persahabatan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah boleh merangka siapa 10 lawan yang sesuai ditentang.

Sementara itu, Thailand yang merupakan juara bertahan dan pemenang enam kali akan menghadapi Vietnam pada perlawanan akhir yang akan berlangsung pada Jumaat di Hanoi dan timbal balas di Bangkok pada 16 Januari 2023.